Selasa, 17 Julai 2012

Selepas Aidilfitri tempoh baik PRU13




Menjelang PRU 13

SHAH ALAM – Selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada Oktober masa terbaik mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Penganalisis politik itu berkata, walaupun November banyak cuti sekolah tetapi ketika itu sudah mula musim tengkujuh terutamanya di kawasan Pantai Timur. “Saya anggap Oktober antara masa yang sesuai, selepas hari raya.

Bagaimanapun, tidak mustahil kerana pada tahun 1999 pilihan raya umum diadakan pada November,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar PRU13 tidak diadakan pada tahun depan memandangkan tahun ini merupakan tahun paling sesuai mengadakannya.

Sivamurugan berkata, tidak salah sekiranya Muhyiddin memberikan pendapat kerana bersesuaian dengan kapasiti beliau sebagai orang kedua terpenting di dalam pentadbiran negara.

Katanya, Muhyiddin beri gambaran itu berdasarkan faktor dalaman dan luaran.

“Tafsiran itu dibuat berdasarkan penelitian beliau selepas bertemu pemimpin Barisan Nasional (BN) dan rakyat. Keadaan itu mempengaruhi kenyataan beliau semalam (Ahad).

“Saya percaya beliau ada sebab berkata demikian. Untuk lebih daripada itu beliau mahu jentera BN sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, beliau tidak melihat pandangan Muhyiddin menggambarkan wujudnya masalah besar antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya melihat apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin sebagai satu mesej tersirat kepada ahli-ahli Umno bahawa mereka perlu terus membuat persiapan untuk menghadapi PRU13,” kata beliau.

Katanya, Muhyiddin mahu mengajak ahli-ahli Umno yang kelihatan sudah 'lemah semangat' supaya terus mengekalkan momentum dengan mengambil
kira PRU13 boleh diadakan bila-bila masa.

“Mesej Muhyiddin mudah dan terus-terang kepada ahli parti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan