Ahad, 8 Julai 2012

Timbalan menteri sokong hudud di Johor





Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, secara peribadi beliau menyokong cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat yang ingin menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

"Namun kita kekurangan prasarana terdiri daripada mahkamah, hakim, pegawai pendakwa bagi melaksanakan perundangan Islam di negara ini.

"Jika usaha ini dapat dilaksanakan, BN akan menjadi pihak pertama melaksanakan hukum itu berbanding dengan Kelantan yang hanya bercakap kosong," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian di Shah Alam.

Beliau bagaimanapun dilapor berkata, pelaksanaannya perlu dirancang teliti agar semua faham erti sebenar hukum hudud.

Anwar: Mahathir duduk diam-diamlah







Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau supaya tidak berlengah-lengah untuk bersara daripada politik.

Sebaliknya, dengan nada tegas, Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri meminta bekas bosnya itu "duduk diam-diam sambil menjaga syarikat anaknya".

"Duduk rehat tadi, ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat.

"Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Puluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu.

"Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar kira-kira 2,000 hadirin yang hadir dalam ceramahnya di Selayang malam tadi.

Dr Mahathir dilapor berkata Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Persoal kenapa Dr M terlalu marah

Bahkan dengan nada bergurau, bekas perdana menteri itu mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impiannya sebelum bersara.

Sebelum itu diawal ucapan dalam ceramahnya di Padang Kampung Selayang Indah malam tadi, Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu "marah" kepadanya.

Sedangkan, kata Anwar yang juga ketua pembangkang berkata selama ini, beliau "tidak pernah mengacau" dan telah memaafkan bekas pemimpin nombor satu itu.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa. Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan.

Anwar berkata sekiranya ditakdirkan menjadi perdana menteri, beliau berjanji tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat yang membangkitkan semangatnya sewaktu disakit dan dihina.

Bekas menteri kewangan yang pernah dipenjarakan itu berkata, beliau tahu erti kesusahan rakyat ketika ini.

Dr M: Jadikan Anwar 'PM kehormat' 5 hari





Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus di ibunegara hari ini.

Dr Mahathir (kanan) berkata kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar masih terus dengan impiannya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau diminta mengulas mengenai satu wawancara Anwar yang disiarkan akhbar Financial Times Selasa lalu membayangkan akan berundur daripada politik negara jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU-13 dan akan kembali mengajar.

Bekas perdana menteri dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

"Kita buat dua jawatan perdana menteri, bagi dekat dia satu 'Honour Prime Minister' selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri Selangor dalam urusan penyelesaian hutang sebuah syarikat senaraian awam, Dr Mahathir berkata rakyat Selangor harus bangkit dan sedar dengan penyelewengan kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyalahguna kuasa dan mengguna duit rakyat bagi memenuhi kepentingan tertentu.

Justeru, katanya, rakyat Selangor perlu memberi semula kepercayaan kepada kerajaan BN yang sebelum ini telah memerintah Selangor selama 50 tahun untuk kembali memajukan Selangor.

- Bernama