Rabu, 13 Februari 2013

PRU13: BN Johor fokus 5 kerusi panas


Datuk Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mengenal pasti lima kerusi ‘panas’ yang akan diberi tumpuan khusus bagi mencapai sasaran kemenangan 100 peratus di 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun Johor.

Ketua Biro Publisiti dan Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan mengesahkan lima kerusi Parlimen iaitu Kluang, Segamat, Gelang Patah, Kulai dan Bakri, yang satu-satunya kerusi Parlimen milik pembangkang, akan diberi tumpuan utama pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Semua sedia maklum tentang kerusi tumpuan yang kita perlu perkukuhkan, perkemas dan mantapkan, ia tidak bermakna kerusi kita kalah tetapi kita mahu kerusi di situ perlu diberi penekanan dalam semua segi bagi mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) 100 peratus kemenangan.

“Ini tidak bermakna 21 kerusi lain kita akan berasa selesa dan goyang kaki, kita telah diarahkan untuk mantapkan jentera di semua peringkat,” katanya selepas mesyuarat tertutup Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Perhubungan BN dan Umno Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), di sini, semalam.

Najib yang mempengerusikan mesyuarat itu hadir tepat jam 10 pagi untuk bersama parti komponen negeri selama hampir 4 jam.

Turut kelihatan perwakilan di lima kawasan yang disenaraikan ‘panas’ dipanggil secara bergilir-gilir bagi membentangkan situasi politik di kawasan masing-masing.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno berkata, lima kawasan tersebut dipilih atas pelbagai sebab khususnya menawan Parlimen Bakri milik DAP selepas kekalahan pada PRU12.

“Bila kita hendak menang kita tidak mahu ada kawasan Parlimen yang kalah di kerusi Dun, antara sebab lain diberi fokus kerana komposisi pengundi, selepas pembentangan itu kita yakin BN akan mengekalkan kerusi sedia ada dan merampas kembali satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dun.

“Namun ditegaskan dalam perjumpaan ini Presiden (Najib) nyatakan amanat dan siapsiagaan jentera PRU, tidak ditimbulkan mengenai kerusi dan calon,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Abdul Ghani yakin BN Johor telah bersiap sedia dan turut melahirkan keyakinan Johor tetap akan menjadi kubu kuat BN dalam PRU13.

“Ada beberapa kawasan yang perlu BN Johor berikan tumpuan untuk kita dapatkan sokongan pengundi bagi pastikan kita tempa kemenangan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan bersama Perdana Menteri itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, yang juga Naib Presiden Umno, dan pemimpin parti komponen MIC dan MCA.