Khamis, 29 November 2012

'Kalau menang, 100 tahun lagi negara bawah BN'


Abdul Rahim Sabri
5:58PM Nov 29 2012

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 menyatakan keyakinannya bahawa BN akan mentadbir negara sehingga 100 tahun akan datang sekiranya parti itu beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya, Perwakilan Wilayah Persekutuan Datuk Yahya Mat Ghani turut memberi amaran bahawa parti itu akan berdepan dengan penghinaan sekiranya tewas.

"Kalau menang pilihan raya umum ke-13, 100 tahun lagi pasti dibawah BN.

"Kalau kalah, na'uzubillah, bukan sahaja presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden akan menangis, tetapi pejuang Umno akan mengalirkan air mata dan anak cucu kita esok yang mewarisi perjuangan kita, dia lihat Umno, mereka hina dan caci (kita).

"Ayuh bangun, bangkit untuk terus berjuang, kekalkan kuasa demi anak cucu kita," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Najib: Demografi politik sudah berubah secara radikal





Ahmad Fadli KC
11:25AM Nov 29 2012

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasarnya di
Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menggesa ahli-ahli Umno memberi tumpuan kepada demografi pengundi Malaysia yang sudah berubah secara radikal dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, majoriti daripada 29 juta penduduk Malaysia kini lahir
selepas pembentukan Malaysia dan 70 peratus tinggal di kawasan bandar - menjadikan mereka lebih bermaklumat serta kritikal.

"Peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses pendidikan,
kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia.

"Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak," katanya pagi tadi.

Najib turut menggesa perwakilan Umno memberi perhatian kepada sejumlah 2.9 juta pengundi baru yang mendaftar sebagai pemilih sejak Mac 2008.

"Angka ini sangat signifikan kerana mewakili lebih satu perlima pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang.

"Ini bermakna seorang daripada lima pengundi pilihan raya umum ke-13 nanti ialah pengundi baru atau pertama kali," katanya.

Mengambil pendirian berbeza dengan sayap Pemuda dan Wanita, Najib menyeru perwakilan agar keluar daripada romantika budi dan bakti masa lampau Umno dalam memikat hati rakyat.

"Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, Umno dan BN tidak lagi boleh lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa dahulu atau apa-apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.

"Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca
penubuhan Umno.

"Oleh itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan berdasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini beserta
wawasan masa depan," katanya.

Beliau turut menekankan "disiplin berorganisasi" yang penting bagi sebuah parti politik untuk memenangi pilihan raya.

SU, bendahari Pemuda Umno Sri Gading bebas tuduhan tuntutan palsu


Bernama
4:34PM Nov 29 2012

Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan bekas setiausaha dan bendahari Pergerakan Pemuda Umno Sri Gading atas tuduhan
membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,998, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan berkenaan terhadap Saiful Basar Samakon, 46, dan Rahmat Junid, 47, selepas meneliti fakta kes dan mempertimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak timbalan pendakwa raya dan peguam.

"Selepas meneliti petisyen rayuan timbalan pendakwa raya yang mengemukakan 13 alasan dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, saya memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 30 April 2012 yang membebas dan melepaskan kedua-dua tertuduh adalah kekal," katanya.

Saiful Basar dan Rahmat secara bersubahat dituduh memberikan dokumen mengandungi kerja membekal peralatan makan, minum serta penginapan bagi kursus kepimpinan dan motivasi belia Parlimen Sri Gading bagi Pemuda Parlimen Sri Gading, Batu Pahat RM19,998 itu kepada seorang ejen iaitu Pembantu Tadbir Pejabat Daerah Batu Pahat Rohayah Sarip melalui seorang lelaki, Tumirun Apandi.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di Pejabat Daerah Batu Pahat, 17 Oktober 2008.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes itu dilakukan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Ghafar Abd Latif manakala Saiful Basar diwakili peguam Manian K.Marappan dan Rahmat diwakli peguam G.Subramaniam Nair.

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen sebelum ini mengemukakan 13 saksi sebelum kedua-dua tertuduh diputuskan dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut, 30 April lepas.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi, 3 Mei lalu.

- Bernama

Isnin, 26 November 2012

Agus: Kerusi Parlimen 'selamat' BN bawah 100

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
26 November 2012

Menjelang PRU 13

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) setakat ini hanya selamat di 96 kerusi manakala Pakatan Rakyat (PR) pula selesa dengan 68 kerusi sementara selebihnya akan menjadi perebutan di antara kerajaan pemerintah dan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata seorang lagi ahli akademik pusat pengajian tinggi tempatan.

Jangkaan itu bermakna kedua-dua BN dan PR berhadapan dengan kemerosotan berbanding kerusi dimenangi empat tahun lalu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, berdasarkan hasil kajian yang dilakukannnya yang bermula beberapa hari sebelum pembentangan Bajet 2013 dan impaknya selepas itu.

Sambil menghormati pandangan Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, juga dari UKM, yang menjangkakan BN akan memperoleh lingkungan 120 kerusi jika PRU13 diadakan sekarang, Agus berka ta, beliau yakin dengan hasil penemuannya itu.

"Itu kajian dia. Biarkan. Saya juga buat kajian dan saya mendapati fakta yang berbeza, daripada segi kerusi memang berbeza tetapi dari segi pencapaian, hasil kajian menunjukkan lebih kurang.

"Kalau dia kata 120 kerusi, saya tidak mendapat begitu. Saya mendapati 96 kerusi bersih untuk BN dan 68 kerusi selesa kepada Pakatan Rakyat. Manakala selebihnya menjadi persaingan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Khamis lalu, Shamsul berkata, kemenangan akan memihak kepada BN meskipun dengan majoriti yang semakin mengecil.

“... mereka akan dapat minimum 120 kerusi. Sekarang 140 kerusi, 24 kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) majoriti tipis,” katanya dalam satu temu bual menjelang Perhimpunan Agung Umno 2012.

Mengulas lanjut, Agus memberitahu, berdasarkan pemerhatian dan kajiannya yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, tidak ada mana-mana parti pun yang akan menang selesa kali ini.

"Tidak ada siapa-siapa pun lagi yang akan membentuk kerajaan dan menang tipis. Nak menang tipis kena ada 112 kerusi. Kalau kerusi yang lebih itu, BN menang, maka BN akan menang besar," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, strategi dan kerja kuat di saat-saat akhir ini amat penting kepada kerajaan dan pembangkang dalam meraih sokongan pengundi menjelang ibu kepada segala pilihan raya ini.

"Kedudukan sekarang ini ialah satu persaingan di antara semua parti yang bertanding, antara dua yang utama ini. Ia terbuka, bergantung kepada strategi akhir sebab di akhirnya masih ramai yang belum membuat keputusan, peralihan undi pertengahan akan berlaku, dan kedudukannya bergantung kepada strategi akhir," ujarnya lagi.

Tambah beliau, kerusi-kerusi yang kini disandang oleh wakil dari MCA dan MIC juga boleh dianggap sebagai kerusi yang terbuka dalam PRU kali ini.

Sementara ditanya mengenai kedudukan 'kerusi panas' di antara 96 kawasan yang dimaksudkan, Agus berkata, "pada saya semua kerusi campuran itu panas dan malangnya ketika ini berdasarkan
pindaan 2002, persempadanan semula itu kebanyakannya adalah kerusi campuran yang panas."

Mahathir ramal Umno mungkin tewas jika..



.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan bahawa Umno mungkin tewas sekiranya jentera peringkat bahagian masih belum bergerak aktif kerana menunggu calon diumumkan.

Dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata jentera berkenaan sepatutnya sudah digerakkan walau pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi.

"Saya dapati hanya Najib nampak aktif, di peringkat bahagian mereka masih tunggu siapa yang bakal jadi calon sebelum mereka mahu bergerak (untuk pilihan raya). Sifat macam ini kalau berleluasa mungkin kita akan kalah.

"Sepatutnya mereka aktif dari sekarang. Tidak perlu peduli siapa nak jadi calon. Kita nak bagi parti menang," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada Umno sudahpun melakukan persediaan mencukupi memandangkan persidangan Umno yang bermula esok merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya.

Tambahnya, Umno masih lagi mengalami masalah memandangkan ahli parti menurutnya hanya mahu individu tertentu dipilih sebagai calon pilihan raya.

"Masalah Umno ialah mereka mahu si polan si polan yang jadi calon. Kalau tak dapat orang dia, biar kalah pun tak apa.

"Tapi kalau orang itu menang tetapi parti kalah, akhirnya tidak boleh wujudkan kerajaan. Perkara mudah begini pun takkan mereka tak faham," kata Mahathir.

Sementara itu, ditanya sama ada sayap Umno sudah menjalankan perubahan yang diharapkan, beliau berkata, ia masih belum memuaskan.

Beliau juga melihat, Pemuda Umno tidak begitu aktif berbanding Wanita dan Puteri yang dilihatnya lebih bersemangat.

Selain itu, dalam wawancara itu juga, Mahathir turut menyatakan sokongannya terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kesediaan untuk berkempen untuk parti jika dibenarkan.

Katanya, dengan berkempen, ia merupakan masa unyuk membayar balik melalui parti selepas beliau dipilih menjadi presiden parti seterusnya perdana menteri.

"Kali ini jika Najib tidak membantah, saya akan terus berkempen. Ini adalah masa untuk saya membayar balik kerana melalui parti inilah saya berupaya menang dan kemudian dipilih sebagai presiden dan kemudian perdana menteri.

"Sudah sampai masa untuk saya membalas balik jasa kepada parti," katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut meramalkan bahawa BN akan memenangi semula negeri yang telah tewas pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun katanya, kemenangan itu juga terpulang kepada Umno itu sendiri.

"Saya fikir terdapat kemungkinan besar tiga negeri ini iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mampu dimenangi semula. Malah ada kemungkinan yang kuat- kita mampu menawan semula Pulau Pinang dan Kelantan.

"Namun itu semua terpulang kepada Umno itu sendiri," katanya sambil menambah, sabotaj dalaman merupakan faktor utama yang menyebabkan kekalahan Umno

malaysiakini