Khamis, 29 November 2012

Najib: Demografi politik sudah berubah secara radikal





Ahmad Fadli KC
11:25AM Nov 29 2012

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasarnya di
Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menggesa ahli-ahli Umno memberi tumpuan kepada demografi pengundi Malaysia yang sudah berubah secara radikal dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, majoriti daripada 29 juta penduduk Malaysia kini lahir
selepas pembentukan Malaysia dan 70 peratus tinggal di kawasan bandar - menjadikan mereka lebih bermaklumat serta kritikal.

"Peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses pendidikan,
kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia.

"Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak," katanya pagi tadi.

Najib turut menggesa perwakilan Umno memberi perhatian kepada sejumlah 2.9 juta pengundi baru yang mendaftar sebagai pemilih sejak Mac 2008.

"Angka ini sangat signifikan kerana mewakili lebih satu perlima pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang.

"Ini bermakna seorang daripada lima pengundi pilihan raya umum ke-13 nanti ialah pengundi baru atau pertama kali," katanya.

Mengambil pendirian berbeza dengan sayap Pemuda dan Wanita, Najib menyeru perwakilan agar keluar daripada romantika budi dan bakti masa lampau Umno dalam memikat hati rakyat.

"Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, Umno dan BN tidak lagi boleh lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa dahulu atau apa-apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.

"Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca
penubuhan Umno.

"Oleh itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan berdasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini beserta
wawasan masa depan," katanya.

Beliau turut menekankan "disiplin berorganisasi" yang penting bagi sebuah parti politik untuk memenangi pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan