Rabu, 10 April 2013

Berbaloikah Pas letak calon di Putrajaya?


.

PUTRAJAYA bukan hanya sebuah kawasan Parlimen tetapi ia adalah lambang maruah dan kuasa pemerintahan kerajaan pusat.

Ia adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Maka tidak hairan mengapa ia menjadi rebutan dan dambaan sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang untuk menduduki takhta itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Putrajaya adalah mercu tanda kehebatan, lambang kegemilangan pemerintahan.

Bukan calang-calang calon diletakkan mengisi kerusi Parlimen penting ini.

Penyandang semasa kawasan kawasan Parlimen itu ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau merupakan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), bekas menteri dan pernah menerajui pelbagai jawatan penting dalam sektor korporat.

Pada pilihan raya 2004, PKR telah mencuba nasib dengan meletakkan calonnya bertanding di Putrajaya, namun dikalahkan oleh Tengku Adnan.

Pada 2008, Pas pula meletakkan calonnya di kerusi itu namun turut ditewaskan oleh Tengku Adnan yang memperoleh majoriti 2,734 undi.

Bukan mudah nampaknya hendak menawan kerusi lambang kebanggaan Umno-BN ini.

Pas dalam percubaan keduanya mengumumkan meletakkan Naib Presiden parti itu, Datuk Paduka Husam Musa untuk menyayingi Tengku Adnan di Putrajaya pada PRU13.

Tengku Adnan atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan sebelum ini berkata, beliau sudah sedia untuk mempertahankan tampuk pemerintahan itu walau siapa pun yang datang hendak menentangnya.

Pemerhati politik, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, meletakkan Husam di Putrajaya adalah satu pembaziran sumber manusia yang dilakukan oleh Pas.

"Husam ini ada potensi tetapi diletakkan di lubuk Umno, maka ia membunuh potensi itu," ujar beliau.

Husam adalah seorang tokoh muda profesional dalam Pas. Husam pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau kemudian bertanding di peringkat Dun kerana potensinya yang dilihat boleh menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz suatu hari nanti.

Pemilihan Husam untuk diregukan dengan Ku Nan, ada logiknya.

Namun menurut Agus lagi, Pas perlu berfikir untuk meletakkan calon bagi tujuan menang dan mengangkat calonnya itu menjadi penggubal undang-undang dan dasar negara.

"Kita kena buat ini sebagai persaingan parti. Parti-parti yang strategik, di mana kerusi yang boleh kita menang, hantar wakil kita untuk dibawa ke Parlimen," katanya.

Melihat pula Pas meletakkan seorang lagi naib presidennya di Pulai, Johor, itu disifatkannya sebagai munasabah berbanding Putrajaya.

"Pulai ini kawasan campuran. Dari segi politiknya banyak lagi perkara yang boleh berlaku. Jadi ada peluang untuk melawan," ujar beliau.

Kerusi Parlimen Pulai disandang oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau adalah ahli Parlimen dua penggal kawasan itu.

Nur Jazlan merupakan anak kelahiran Johor dan merupakan anak kepada tokoh veteran Umno, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Sementara Salahuddin Ayub pula merupakan anak kelahiran Pontian, Johor. Beliau juga merupakan ahli Parlimen dua penggal berturut-turut bagi kawasan Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Salahuddin diminta pulang ke Johor sebagai strategi untuk membantu jentera Pakatan Rakyat menembusi negeri yang menjadi kubu kuat BN itu.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ismail Sualman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan tindakan Pas mengumumkan nama-nama besar dalam parti itu bertanding di kerusi-kerusi panas hanya satu perang psikologi.

"Ini taktik untuk meraih undi menggunakan cara psikologi.

"Saya yakin, selagi belum penamaan calon apa-apa pun boleh berlaku," ujar beliau.

Menurut Ismail, kedua-dua kawasan yang diletakkan naib presdien Pas ini sememangnya kubu kuat BN.

Nur Jazlan katanya bukan, pesaing sembarangan buat Salahuddin. Beliau tokoh yang disifatkannya "pandai jaga kawasan".

Pemimpin itu pada PRU12 pada mengalahkan calon Pas, Abdullah Ideris dengan majoriti 20,449 undi manakala pada 2004, ketika kali pertama bertanding beliau mengalahkan calon dari PKR, Md Nasir Ab Wahab dengan majoriti 34,926 undi.

PRU13 ini Pas sekali lagi bakal meletakkan calonnya seorang pemimpin besar dalam parti itu.

Pastinya penduduk Pulai sukar untuk membuat pilihan.

Kedua-dua pemimpin ini punya karakter dan kewibawaan masing-masing sebagai pemimpin.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan Pas kini sedang menggunakan pendekatan 'reverse psychology' terhadap BN.

Beliau juga setuju untuk mengatakan kedua-dua calon yang diletakkan Pas itu berkemampuan untuk menarik sokongan rakyat.

"BN akan terus pertahankan kubu mereka daripada sepatutnya mereka menyerang PR," katanya.

Penamaan calon 20 April, undi 5 Mei

10 April 2013

PRU13

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian akan diadakan pada 5 Mei.

Dalam pada itu pengundian awal akan diadakan pada 30 April.

Ketiga- tiga tarikh itu ditetapkan pada mesyuarat khas yang diadakan di sini sebentar tadi.


AKAN MENYUSUL

Artikel Berkaitan

Isnin, 8 April 2013

Johor diselubungi teka-teki calon MB baru





Teka-teki paling popular di Johor ketika ini menyentuh persoalan berhubung siapakah calon Menteri Besar Johor yang baharu menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman (gambar atas).

Rakyat Johor sudah hampir pasti akan mendapat Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Ghani yang telah memimpin negeri selatan tanah air ini selama empat penggal bermula dari 1995.

Dengan Abdul Ghani, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sudah hampir pasti akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu.

Menteri Besar itu kini disebut-sebut akan mempertaruhkan dirinya menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah, di dalam pertandingan yang disifatkan sebagai "Titanic Battle" pada PRU-13.

Di antara nama yang paling kerap disebut rakyat Johor ketika ini adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin, (gambar bawah) yang juga anggota parlimen Pasir Gudang.

Sebenarnya nama Mohamed Khaled telah pun disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas, tetapi ia tidak menjadi kenyataan pada saat-saat akhir.

Menteri Pengajian Tinggi itu dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pertimbangan yang penting bagi mereka yang menaruh harapan mahu menjadi Menteri Besar Johor.

Menurut beberapa pemimpin Umno negeri yang enggan dinamakan, Khaled merupakan calon teratas dalam senarai pemimpin Umno yang menjadi pilihan untuk mengambil alih tempat Abdul Ghani.

"Khaled mempunyai dua pilihan iaitu sama ada bertanding di dua kerusi DUN iaitu Tiram atau Tanjung Puteri kerana DUN Permas yang berada di bawah Parlimen Pasir Gudang merupakan milik MIC," katanya.

Bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi itu dijangka memilih DUN Tiram kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Parlimen Pasir Gudang bagi membolehkannya terus dekat dengan kawasan parlimen itu.

Jika beliau memilih untuk bertanding di DUN Tanjung Puteri pula, Mohamed Khaled dijangka akan berganding semula dengan mentornya anggota Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Selain Menteri Pengajian Tinggi, nama-nama lain yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu termasuk Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Nur Jazlan, Pengerusi UDA Holdings dan seorang akauntan bertauliah juga dilihat calon sesuai untuk jawatan Menteri Besar Johor bagi meneruskan usaha agresif kerajaan negeri dan Pusat untuk menarik pelaburan ke Johor dan Iskandar Malaysia.

Anggota Parlimen Pulai itu yang cenderung dalam bidang ekonomi, juga fasih berbahasa Mandarin dan mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura serta komuniti perniagaan republik itu.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini muncul satu lagi nama pemimpin Umno yang menjadi sebutan ramai di Johor sebagai calon Menteri Besar iaitu, anggota DUN Kukup Datuk Md Othman Yusof yang mesra dengan panggilan "Datuk MOY".

Beliau merupakan pemilik majalah komik terkenal "Ujang."

Ahad, 7 April 2013

Tarikh PRU13: Ramalan penganalisis


WARTAWAN SINAR HARIAN



Tarikh penting PRU 2004 hingga 2013

BERIKUT ramalan penganalisis-penganalisis berhubung hari penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum ke-13.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Tarikh: Penamaan calon : 16 April, undi mungkin 26 April 2013 atau 27 April 2013 atau awal bulan Mei

Alasan: “Saya rasa SPR akan buat cepat sebab semua sudah bersedia hanya tunggu semua Dun bubar, tapi mungkin juga lewat sehingga bulan Mei sebabnya Perdana Menteri perlu menghadiri satu majlis iaitu Sidang Kemuncak Asean pada 24 April ini, itu penting."

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan


Tarikh: Penamaan calon mungkin hujung minggu depan atau dua minggu selepas mesyuarat SPR, undi tiga minggu selepas pembubaran Parlimen atau awal bulan Mei

Alasan: “Tak perlu lama-lama lagi untuk tempoh berkempen, lagipun semua parti sudah bersedia, rakyat juga ada keputusannya. Namun perlu lihat pula hari bercuti, tapi bukan hari cuti pun tak apa ini adalah tanggungjawab rakyat.”

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zainal Kling


Tarikh: Penamaan calon, dua minggu lagi untuk penamaan calon manakala hari undi hujung bulan April 2013

Alasan: “Saya rasa semua sudah siap sedia tunggu SPR adakan mesyuarat minggu depan, saya rasa Perdana Menteri juga tak mahu lambat begitu juga SPR tak mahu lengahkan masa.”

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Ahmad Atory Hussein


Tarikh: Penamaan calon 27 April, undi 11 Mei

Alasan: “Mengikut perkiraan kita kalau tidak ada huru-hara, 27 April itu masa paling sesuai kerana ia juga jatuh pada bercuti untuk negeri seluruh negara, seperti pilihan raya umum sebelum ini, penamaan calon hanya 13 hari dari 27 April.”

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat


Tarikh: Penamaan calon 20 April 2013, 4 Mei 2013

Alasan: “Pemilihan 4 Mei dibuat kerana ia memberi tempoh untuk beberapa perkara mengenai writ pembubaran Dun seminggu, penamaan calon seminggu selepas itu kemudian tempoh kempen 13 hari, kira 4 Mei sesuai, ia juga jatuh hari Sabtu."