Sabtu, 3 November 2012

PR pamer rang daftar pemilih tambahan suku tahun ketiga 2012

2 November 2012

SPR

KUALA LUMPUR - Rang Daftar Pemilih Tambahan (Rang DPT) Suku Tahun Ketiga 2012, yang menyenaraikan 135,214 permohonan pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat pusat mengundi, kini dipamer di 948 lokasi seluruh negara sehingga 6 Nov ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata permohonan pendaftaran itu melibatkan 106,168 pendaftaran pemilih baru dan 29,046 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih sedia ada yang berdaftar dengan SPR.

Beliau berkata setiap permohonan akan melalui 148 tapisan termasuk semakan maklumat peribadi seperti kewarganegaraan, umur kelayakan dan kelayakan untuk menjadi pengundi tidak hadir sebelum dimasukkan ke dalam data Rang DPT itu.

"Jika sesuatu permohonan itu tidak melepasi tapisan tersebut, borang permohonan tidak akan didatakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamaruddin berkata SPR akan membuat semakan lanjut jika terdapat keraguan bagi memastikan hanya permohon yang layak didatakan ke dalam sistem pendaftaran pemilih.

SPR, katanya, menggalakkan pemilih berdaftar dalam satu-satu bahagian pilihan raya menyemak dan membuat bantahan ke atas kemasukan nama dalam Rang DPT itu dengan alasan tertentu seperti tidak bermastautin di alamat yang dipohon.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak, terutama parti politik, yang mendakwa SPR mendaftarkan pemilih sewenang-wenangnya termasuk mendaftarkan orang yang bukan warganegara sebagai pemilih.

Kamaruddin berkata bantahan boleh dibuat dengan mengisi Borang C, dan seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang.

Borang itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang DPT itu dipamerkan.

"Bantahan tersebut hendaklah berasas dan bukan dengan niat ingin menafikan hak warganegara untuk mendaftar sebagai pemilih atau memperlekeh peranan SPR dalam urusan pendaftaran pemilih," katanya.

Bantahan juga boleh dikemuka atas sebab pemohon tidak bermastatutin di dalam bahagian pilihan raya tersebut, pemohon bukan warganegara Malaysia dan pemohon telah meninggal dunia.

Kamaruddin berkata setiap bantahan yang diterima SPR akan melalui proses siasatan awam yang dikendalikan Pendaftar Pemilih Negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata SPR menggalakkan pemilih berdaftar yang telah bertukar alamat bermastautin agar memohon untuk menukar alamat pusat mengundi.

"Mereka hendaklah terlebih dahulu menukar alamat bermastautin di kad pengenalan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, dan selepas itu bolehlah memohon menukar alamat pusat mengundi di kaunter SPR atau pejabat pos," katanya.

SPR juga menggalakkan pemilih supaya menyemak maklumat pendaftaran mereka.

"Semakan boleh dibuat melalui laman web SPR di laman web SPR di www.spr.gov.my, menghubungi talian 03-8885 6565, sistem pesanan ringkas (sms) dengan menaip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 atau hadir ke kaunter SPR di ibu pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat pilihan raya negeri masing-masing," katanya. - Bernama