Sabtu, 1 Jun 2013

Mekanisme turun harga kereta






SUSULAN manifesto BN dan PR yang menjanjikan penurunan harga kereta, pelbagai spekulasi dibuat selepas berakhirnya PRU13.

Setakat ini harga kereta diketahui tinggi. Harga terendah Honda City, umpamanya adalah RM83,219.50, Toyota Vios model 1300cc berharga RM72,417.50.

Bagi kereta buatan Malaysia seperti Proton dan Perodua pula, harga yang ditawarkan adalah RM24,924.30 bagi model Perodua Viva 660cc.

Untuk Proton pula, harga terendah yang ditawarkan adalah model Saga FLX 1300cc iaitu RM35,333.65.

Harga ditawarkan ini sukar untuk dimiliki oleh keluarga berpendapatan rendah, terutama yang kos saraan hidup yang tinggi seperti mempunyai pendapatan kurang dari pada RM1500 sebulan.

Golongan muda juga antara yang terbeban akibat harga kenderaan yang tinggi kerana belum ada pendapatan stabil dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Sebelum PRU13, BN dan PR berjanji hendak turunkan harga kereta. Namun mekanisme yang mana antara BN dan PR yang lebih efektif?

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, usaha menurunkan harga kereta bukan sesuatu yang susah kerana kerajaan hanya perlu menghapuskan cukai eksais.

Katanya, langkah yang dibuat kerajaan sekarang menekan pembuat dan penjual kereta.

PR, katanya, menawarkan cara sesuai, iaitu dengan menghapuskan cukai eksais.

Sebagai contoh, bagi kereta Perodua Myvi, cukai kereta yang dikenakan adalah 85 peratus iaitu 75 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai jualan.

Ini bermaksud, jumlah cukai yang dikutip kerajaan bagi sebuah kereta Perodua Myvi adalah RM21,140 dari harga yang dikenakan kepada pengguna, iaitu RM46,000.

Tanpa cukai eksais, ia akan kurangkan harga kereta kerana cukai yang dikenakan adalah hampir sama dengan harga kereta.

Sementara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, kerajaan akan mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat sehingga 2017.

Sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model kereta popular di negara ini telah menurun 7.3 peratus purata.

Beliau berkata, pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang mana terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain industri automotif.

Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan.

Kerajaan juga berbincang dengan syarikat-syarikat pembuat kereta dan satu Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA bakal dilaksanakan serta faedah-faedah akan diperkenal kepada pengguna.

Soalannya, bilakah proses penurunan ini akan bermula?

Apakah pada Jun atau Julai depan atau pada Januari 2014?

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menggesa kerajaan umumkan mekanisme penurunan harga kereta dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, struktur cadangan masih samar-samar.

Menurutnya, kelewatan pihak berwajib mengumumkan mekanisme menurunkan harga kereta telah memberi impak kepada pasaran automotif yang kini mengalami penyusutan disebabkan pembeli tunggu dan lihat.

Namun, sekiranya dinilai secara rasional, pelaksanaan penurunan harga kereta ini, dapat dilaksanakan, ianya mampu untuk mengurangkan beban kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, terutama di kawasan bandar.

Pemilihan Umno guna perlembagaan baru parti




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Pemilihan Umno akan dilaksanakan tahun ini dengan mengguna pakai perlembagaan baru parti yang membuka peluang kepada hampir 500,000 ahli di peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan parti.

Pemilihan itu akan dijalankan selepas mesyuarat peringkat bahagian dan sebelum perhimpunan agung parti, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.

Beliau berkata satu pasukan khas diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali ditubuhkan untuk menerangkan kaedah pemilihan baru berdasarkan perlembagaan parti yang dipinda pada 2009.

"Perlembagaan parti yang baru ini lebih mencabar dan lebih kompleks kerana sejajar dengan pembaharuan dan reform yang telah kita mulakan tiga tahun dulu tapi belum kita kuat kuasakan pemilihan menggunakan perlembagaan yang baru.

"Dari segi pemilihan Majlis Tertinggi, hampir 150,000 orang akan terlibat dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada presiden sampai kepada Majlis Tertinggi. Ini tidak termasuk 100,000 orang daripada setiap sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," jelas Najib.

"Walaupun tanggungjawab tidak sama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tapi ia jauh lebih besar daripada apa yang telah kita lalui sebelum ini," kata Najib.

Beliau berkata proses pemilihan baharu itu akan dijalankan secara serentak di 191 bahagian di seluruh negara dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Mengenai kaedah pelaksanaan pemilihan itu, Najib berkata: "Cara mana nak buat angkat tangan, biometrik, dakwat kekal dan macam-macam lagi, perkara masih diperincikan lagi."

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat cawangan akan hanya bermula selepas proses penerangan di peringkat negeri selesai dilaksanakan pasukan khas yang turut disertai Setiausaha Agung, Setiausaha Kerja dan beberapa anggota parti.

"Tarikh paling awal yang dapat kita adakan mesyuarat cawangan ialah 15 Julai. Jadi kita tetapkan 15 Julai hingga 31 Ogos untuk mesyuarat cawangan diikuti mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung.

"Kedua-dua tarikh itu akan diumumkan selepas kita dapatkan maklum balas dari pasukan yang turun padang. Dan kita akan tengok dari segi kefahaman dan keperluan logistik untuk kendalikan pemilihan yang melibatkan jumlah begitu besar yang belum pernah kita lakukan sebelum ini," kata Najib. - Bernama

Yang di-Pertuan Agong mahu rakyat akur keputusan PRU13



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu rakyat di negara ini akur dengan keputusan PRU13 yang telah ditentukan oleh mereka sendiri.

Sambil merakamkan tahniah kepada anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.

"Jika ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah baginda sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan secara langsung menerusi RTM di sini malam ini.

Baginda bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai pertelingkahan yang tidak berkesudahan."

"Janganlah kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan Malaysia," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah sebarang perubahan politik di negara ini perlulah dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

"Apakah kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan oleh perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk membinanya kembali amatlah sukar.

"Oleh itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah Seri Paduka.

Baginda mengingatkan anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tuanku Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Baginda mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan rapi oleh para pemimpin terdahulu.

"Menjelang tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada 16 Sept pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia.

"Hakikatnya, walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda, namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang membanggakan seperti yang ada pada hari ini.

"Namun, walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. - Bernama

Isnin, 27 Mei 2013

Najib jamin kerajaan boleh lakukan perubahan

27 Mei 2013

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan oleh melakukan perubahan dalam negara dengan memahami keperluan belia.

Sambil menegaskan bahawa tidak ada yang bersifat tetap, perdana menteri berkata kerajaan mesti berani dan sedia melakukan perubahan yang dapat memenuhi ekpektasi rakyat.

"Sama ada cepat atau tidak, perubahan akan berlaku. Saya jamin bahawa kerajaan akan lakukan perubahan dalam negara, dan ini bererti memahami keperluan belia.

"Kita perlu mengubah sikap, strategi, program dan pendekatan kita kerana kita tidak lagi boleh menganggap apa yang kita amalkan sekarang sebagai penyelesaian terbaik untuk masa depan.

"Kita perlu punya minda terbuka dan bersikap pragmatik, bukan dogmatik," kata beliau dalam kiriman Facebooknya. - Bernama

Turun harga kereta perlukan masa



27 Mei 2013



KUALA LUMPUR - Kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan penguasaan pasaran Proton, kata JF Apex Securities.

Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata kajian daya maju perlu dilakukan untuk melihat impak keseluruhan bagi mengelak gangguan ke atas ekosistem automotif negara.

"Kami tidak menjangkakan perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sementara menunggu perkembangan terkini semakan ke atas Dasar Automotif Negara," kata JF Apex.

Kerajaan berjanji menurunkan harga kereta antara 20 peratus dan 30 peratus sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

JF Apex berkata pasaran kereta terpakai akan teruk terjejas jika harga kereta dikurangkan antara 20 peratus dan 30 peratus menerusi pengurangan duti eksais antara 75 peratus dan 105 peratus, yang menyumbang kepada sebahagian besar harga kereta.

"Pengurangan harga kereta akan mengurangkan insentif untuk menjual kereta terpakai memandangkan nilai kereta terpakai jatuh teruk," katanya.

Pada masa yang sama, kata firma penyelidikan itu motivasi untuk membeli kereta baharu adalah lebih tinggi memandangkan harga yang murah terutama bagi pembeli kali pertama Model Segmen B.

Bagaimanapun, minat tidak akan sama bagi pemilik kereta sedia ada yang mahu menjual kereta lama untuk membiayai kereta baharu.

"Namun impak pasaran kereta terpakai terkawal, memandangkan kerajaan tidak akan membenarkan perubahan drastik dalam sekelip mata kerana ini akan memberi kesan kepada industri automotif secara keseluruhan," kata JF Apex.

JF Apex juga berkata minat pembeli juga akan terarah untuk membeli kereta import dalam jangka panjang jika pengurangan duti eksais dilaksanakan, dengan pengurangan 30 peratus merupakan penjimatan yang besar.

"Atas sebab ini, jika pengurangan 30 peratus dilaksanakan, kami menjangkakan permintaan untuk kereta mewah akan meningkat, yang semestinya memberi manfaat kepada pembuat/pengedar seperti UMW (Lexus) dan DRB-Hicom (Volkswagen, Mercedes Benz).

"Ini akan mengorbankan Proton dan Perodua memandangkan hampir semua komponen kereta berkenaan dipasang dalam negara dan tidak dikenakan duti eksais," katanya. - Bernama