Khamis, 25 Oktober 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA








Sesungguhnya
Perjalanan kita sebagai khalifah di bumi allah ini...cukup berbeza2.
Betapa misterinya mukjizat yang ESA pada makhluknya yang bernama....
Manusia.
Termaktub,dah tertulis 'bahagian' kita seadanya..
Mampu atau tidak,redhanya kita pada ketentuan yang ESA ..?
Hanya kita yang empunya rasa
......
Jalanmu mungkin tak sama..dengan laluanku.
Keperitanmu mungkin tak cukup berbekas di hati aku.
Pengorbanan besar bagimu mungkin hanya secebis pada diriku

........

Pengorbanan kadangkala bisa jadi satu Penzahiran yang maha hebat
Tak perlu tutur manis bahasa..
Tak usah diulangkata
Pengorbanan
Keredhaan atau Keterpaksaan?

..........

Biar APAPUN hakikat pengorbanan
Hayati......Hargailah.
admin mengucakan selamat hari raya aidiladha kepada pembaca blog ini

Selasa, 23 Oktober 2012

PRU13 tetap diadakan walaupun musim hujan


WARTAWAN SINAR HARIAN

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

Jadual 1

SEMAKIN dekat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tekanan dan serangan bertali arus juga meningkat kepada badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia proses pilihan raya - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR sebagai badan yang bebas adalah kritikal bagi proses demokrasi negara. Namun ada pihak menuduh SPR cuba bermain kotor dengan memastikan kerajaan sedia ada terus berkuasa. Benarkah begitu?

Ikuti temu bual khas Sinar Harian bersama Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama wartawan, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN, SALMIEY DRUHAMAD DRAHSIN dan jurugambar, ROSLI TALIB di pejabatnya baru-baru ini.

Sejauh mana persediaan SPR dalam menghadapi PRU13?

PRU13 boleh berlaku pada bila-bila masa. Daripada pengalaman PRU yang lalu dan beberapa perkembangan terkini seperti pembaharuan yang akan dilaksanakan dalam PRU13, SPR telah membuat persiapan rapi daripada awal lagi secara berperingkat.

Persiapan itu mengelakkan SPR daripada terperangkap dalam keadaan tidak bersedia apabila Parlimen dibubarkan.

Walaupun tempoh hayat Parlimen hanya akan berakhir pada 28 April 2013, tetapi ia boleh dibubarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Perkara penting dalam persiapan itu adalah keperluan peralatan, logistik, pegawai dan petugas pilihan raya, tempat yang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi, latihan dan taklimat serta membuat pindaan kepada undang-undang.

Persiapan itu juga mengambil kira pelaksanaan perkara baru seperti dalam syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses
Pilihan Raya (SSC) yang telah dipersetujui oleh SPR untuk dilaksanakan dalam PRU13 akan datang. Sebagai contoh pelaksanaan penggunaan dakwat kekal dan pengundian awal.

Apakah pembaharuan dalam proses undi pos yang masih dipertikaikan?

Pada masa sekarang, Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 hanya menetapkan pengundi di bawah Pengundi Tidak Hadir (PTH) sahaja yang layak untuk mengundi secara pos.

Adakah ia turut dibuka kepada rakyat Malaysia di luar negara?

Selaras dengan cadangan SSC, SPR sedang meneliti pindaan undang-undang untuk beri kemudahan kepada pengundi di luar negara ini untuk mengundi secara pos mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Mereka ini perlu memenuhi syarat seperti telah mendaftar sebagai pemilih, hendaklah mengemukakan permohonan untuk mengundi secara pos dan pulang ke Malaysia sekali dalam tempoh pentadbiran kerajaan semasa, sebelum tempoh tersebut berakhir.

Enam daripada 32 cadangan SSC tidak diterima. Mengapa ia tidak dapat dilaksanakan?

Sepanjang tempoh enam bulan perjalanan SSC, SPR telah menerima Laporan Awal yang mengandungi 10 syor dan Laporan Akhir yang mengemukakan 22 syor untuk dikaji dan diambil tindakan mengikut kesesuaian dan keupayaan. SPR yang mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 April 2012, telah membincangkan dengan panjang lebar kesemua syor berkenaan secara terperinci bagi mengenal pasti dan menentukan mana-mana syor yang boleh dan mampu dilaksanakan dalam PRU13 akan datang.

Manakala syor yang tidak dapat dilaksanakan dalam PRU13 akan dikaji secara lebih mendalam dan terperinci dari semua sudut Perlembagaan dan undang-undang, peraturan pilihan raya serta kemampuan teknikal dan pengurusan SPR.

Daripada 10 syor dalam Laporan Awal SSC kepada SPR, SPR telah bersetuju untuk melaksanakan tujuh syor itu. Manakala tiga syor dalam laporan awal yang tidak dapat dilaksanakan adalah, pertama seperti pengundi luar kawasan. Syor yang dikemukakan ialah pengundi yang berada di luar kawasan boleh mengundi tanpa perlu kembali ke kawasan pendaftaran asal masing-masing.

SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana ia bertentangan dengan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 yang hanya membenarkan pemilih mengundi di bahagian pilihan raya di mana dia didaftarkan. Ia juga bertentangan dengan Perkara 119 Perlembagaan persekutuan berhubung isu ‘mastautin” yang ditetapkan sebagai salah satu syarat kelayakan sebagai pemilih.

Kedua adalah pertukaran kawasan pendaftar. Syornya ialah supaya pertukaran alamat pusat mengundi perlu disertakan dengan akuan berkanun. SPR tidak bersetuju kerana ia akan membebankan pemilih yang hendak membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Ketiga adalah Pengundi Tidak Hadir luar negara. Syor SSC supaya meluaskan kategori pengundi tidak hadir luar negara kepada semua warganegara Malaysia yang layak. SPR tidak bersetuju dengan cadangan supaya meluaskan kategori PTH kepada semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara.

Bagaimanapun, SPR bersetuju untuk memberi kemudahan kepada pengundi di luar negara ini untuk mengundi secara pos mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 dengan dibuat pindaan kepada undang-undang yang berkaitan.

Bagi laporan akhir, tiga syor tidak boleh dilaksanakan oleh SPR ialah, pertama, pengundi luar kawasan. Kedua adalah bantahan terhadap Daftar Pemilih yang telah diperakui. SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana Daftar Pemilih Induk merupakan Daftar Pemilih yang telah melalui pelbagai proses undang-undang sebelum diwartakan.

Ketiga adalah penggunaan alamat selain alamat mastautin untuk mendaftar sebagai pemilih. SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana dikhuatiri ia boleh mendorong kepada berlakunya penipuan dan manipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan politik. Penggunaan alamat selain alamat pada kad pengenalan juga mungkin mendedahkan unsur-unsur penipuan yang sukar dikawal oleh SPR.

Bilakah penambahbaikan yang dicadangkan akan dimulakan?

Daripada 10 syor dalam Laporan Awal SSC, 7 syor akan dilaksanakan dalam PRU13. Tujuh syor tersebut ialah penggunaan dakwat kekal, pengundian awal bagi anggota polis dan tentera, pembersihan Daftar Pemilih, memanjangkan tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan dari 7 hari kepada 14 hari.

Kelima adalah ketelusan proses mengundi iaitu melihat semula susun atur tempat mengundi dan membenarkan mereka yang dipercayai oleh OKU untuk membantu menandai kertas undi dengan syarat warganegara Malaysia dan berumur 21 tahun. Keenam pula adalah pemansuhan proses bantahan pencalonan dan tempoh penarikan pencalonan dan terakhir adalah pengukuhan SPR.

Apakah perkara baru pada PRU13?

Daripada 22 syor yang dikemukakan dalam Laporan Akhir, hanya tiga yang tidak dapat dilaksanakan. Manakala bakinya ada yang akan dilaksanakan oleh SPR dalam PRU13 dan juga ada yang masih dalam kajian lanjut oleh SPR. Antara syor-syor dalam Laporan Akhir yang akan dilaksanakan dalam PRU13 adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas media dan petugas SPR dan memanjangkan tempoh berkempen. Tempoh akan dipanjangkan lebih 10 hari.

Selain itu, SPR akan cuba memastikan akses media yang bebas dan adil. Parti-parti politik akan diberi masa 5-10 minit setiap hari untuk menyiarkan manifesto masing-masing yang akan disiarkan oleh TV RTM.

Bagi Pembersihan Daftar Pemilih, SPR telah bekerjasama dengan ATM, PDRM, JPN dan Mimos. Penelitian daftar pemilih bagi alamat yang mempunyai pemilih yang ramai. SPR telah pamerkan nama pemilih yang terlibat dalam Laman Sesawang SPR pada Mei 2012, tetapi tiada sambutan. SPR juga telah melaksanakan siasatan di lapangan bagi mengesan pemilih yang terlibat.

Apakah persediaan SPR berhubung dengan faktor cuaca?

Faktor cuaca adalah antara perkara yang diambil kira oleh SPR ketika membuat persiapan pilihan raya terutama jika Parlimen dibubarkan dalam November atau Disember. Sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya, pilihan raya tetap perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Bagi sesetengah negeri, November dan Disember sering kali dikaitkan dengan musim tengkujuh dan banjir akan berlaku di negeri-negeri tertentu.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman menguruskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N5 Tenang, Johor pada 2011, SPR akan mengenal pasti pusat mengundi yang mungkin akan mudah dinaiki air apabila berlaku banjir. Ia bagi membolehkan SPR membuat persiapan yang sewajarnya jika pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh.

Dalam hal ini, SPR akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi kerajaan yang boleh membantu SPR jika berlaku sesuatu bencana alam termasuk banjir di sesuatu bahagian pilihan raya semasa pilihan raya diadakan.

Apa penjelasan pihak SPR terhadap pihak-pihak yang mempertikaikan daftar pemilih?

Sebagaimana yang dijelaskan SPR sebelum ini, bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membersihkan Daftar Pemilih bagi menyediakan Daftar Pemilih untuk PRU13 yang lebih kemas dan teratur. Dalam urusan pembersihan Daftar Pemilih ini, SPR melakukannya secara berterusan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran negara (JPN), Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Jabatan Penjara Malaysia dan Mimos.

SPR juga sentiasa memastikan hanya nama-nama mereka yang benar-benar layak sahaja berada dalam Daftar Pemilih. Pembersihan itu dibuat berdasarkan kepada Peraturan 10 dan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. SPR juga telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Mimos dalam usaha membersihkan Daftar Pemilih. Perbincangan berterusan dengan pihak Mimos akan diadakan secara berkala.

SPR juga telah mengadakan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2012 untuk menggalakkan pemilih-pemilih berdaftar menyemak maklumat pendaftaran masing-masing. Jika ada yang tidak betul, boleh maklum atau membuat aduan kepada SPR untuk membuat pembetulan. Malahan SPR secara berterusan meminta kerjasama pihak media, parti politik, NGO membantu menghebahkan kepentingan menyemak ini kepada pengundi.

SPR juga telah menyediakan pelbagai saluran untuk pengundi membuat semakan melalui kaedah menelefon, melayari laman web, SMS atau datang sendiri ke pejabat SPR seluruh negara.

Berapa ramai daftar pemilih yang telah dipinda atau dibetulkan?

Berdasarkan statistik, sejak Mac 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 8,452 pembetulan maklumat pemilih telah dibuat oleh SPR berdasarkan aduan yang diterima melalui pelbagai saluran. Pembetulan maklumat tertinggi ialah pembetulan lokaliti sebanyak 5,555 dan diikuti dengan kesilapan nama sebanyak 1,103. [ Rujuk jadual 1 ]

SPR amat berharap pemilih-pemilih berdaftar di seluruh negara dapat menyemak maklumat pendaftaran masing-masing. Jika ada maklumat yang tidak tepat, mereka boleh membuat aduan kepada SPR untuk diperbetulkan.

Dalam proses pembersihan Daftar Pemilih, sepanjang tempoh di antara tahun 2008 hingga Suku Tahun 2 2012, SPR telah membuat pelbagai pemotongan.

Sebanyak 480,229 rekod pemilih telah dipotong dengan jumlah pemotongan yang paling tinggi adalah bagi kategori kematian iaitu 379,324. Ini diikuti oleh kategori hilang layak pengundi awam sebanyak 23,431, bersara dari tentera 14,776, masuk tentera 14,548 dan lucut warganegara 12,595.

Sekarang heboh diperkatakan berhubung dana asing yang disalurkan kepada NGO. Adakah SPR sendiri memantau parti yang dikatakan terlibat?

Pertamanya, SPR ingin memaklumkan bahawa, untuk PRU13 akan datang, SPR akan melantik pemerhati pilihan raya tempatan dan akan menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau pilihan raya itu. Bagi pemerhati tempatan, SPR telah pun mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan NGO di peringkat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

SPR juga telah kenal pasti dan menyenarai pendekkan beberapa NGO ini yang akan dilantik sebagai pemerhati. Pelantikan NGO ini adalah kepada badan NGO yang dilihat bersikap berkecuali (neutral) dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Di samping pemerhati tempatan, SPR juga bercadang melantik pemerhati daripada badan pengurusan pilihan raya (EMB) luar negara terutamanya dalam kalangan negara Asean termasuk institusi antarabangsa.

SPR amat mengalu-alukan maklum balas dan pandangan kumpulan pemerhati tentang proses pilihan raya yang dilaksanakan. SPR bersedia terima apa-apa cadangan penambahbaikkan proses pilihan raya negara ini. Proses pelantikan NGO ini dibuat teliti seperti menilai latar belakang pertubuhan bagi memastikan mereka berkecuali dalam memantau perjalanan pilihan raya membabitkan 222 kawasan Parlimen.

Persoalan mengenai dari mana datangnya dana yang diperoleh atau digunakan oleh NGO ini, SPR tidak ada kuasa untuk menyiasat perkara itu. SPR juga tidak memberi sebarang peruntukan kepada pemerhati bebas ini bagi memastikan mereka ini bebas dalam membuat pemantauan. Jika SPR memberi dana, dikhuatiri akan wujud laporan yang bias kepada pemberi dana dan pemantauan itu juga berkemungkinan tidak akan mencapai objektif yang ditetapkan.

Dua individu Hassannuddin bin Manna dan Salleh bin Samsul dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendaftar sebagai pemilih. Komen Tan Sri?

Sebelum ini Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ada membuat dakwaan seperti yang dilaporkan dalam Suara Keadilan bahawa Hassannuddin bin Manna telah mendaftar sebagai pemilih menggunakan kad pengenalan palsu. Beliau dikatakan memiliki kad pengenalan palsu dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Pusat Kota Kinabalu, tetapi masih menjadi pengundi yang sah.

Semakan SPR mendapati dakwaan itu tidak benar sama sekali. Semakan SPR dengan JPN mendapati Hassannuddin bin Manna adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Oleh itu, tidak timbul isu beliau mendaftar menggunakan kad pengenalan palsu. Berdasarkan rekod dalam Daftar Pemilih, beliau mendaftar sebagai pada 13 April 2007 di Parlimen Sepanggar, Sabah.

Mengenai dakwaan mengatakan beliau telah ditangkap dan dipenjarakan, siasatan SPR mendapati individu yang dipenjarakan adalah individu lain, iaitu Montasir Juwak Hasan yang berasal dari Filipina dan menetap di Kampung Kalansanan Inanam, Sabah. Dalam pertemuan beliau dengan pegawai SPR di Penjara Pusat Kota Kinabalu, beliau mengaku menggunakan dokumen yang dimiliki oleh Hassannuddin bin Manna dan digunakan tanpa pengetahuan pemilik sebenarnya. Beliau juga mengaku tidak mengenali pemilik sebenar kad pengenalan yang digunakan. Beliau juga turut mengakui membeli kad pengenalan itu melalui seseorang setahun lalu dengan harga RM1,000.

Mengenai dakwaan bahawa Salleh bin Samsul, warganegara asing dari Filipina yang berdaftar sebagai pemilih yang menggunakan MyKad palsu seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang disiarkan dalam beberapa blog, semakan SPR dengan JPN mengesahkan bahawa beliau adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Berdasarkan rekod SPR, beliau mendaftar sebagai pemilih pada 9 April 1993 di Parlimen Pasir Gudang.

Fuziah dalam dakwaannya mengatakan Salleh bin Samsul telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun pada 20 September 2010. Namun siasatan SPR dengan mengunjungi keluarga Salleh bin Samsul mendapati dakwaan itu tidak benar.

Berdasarkan maklumat daripada isteri beliau dan dokumen yang ditunjukkan didapati antara Jun 2010 hingga April 2011 beliau bekerja sebagai jurukimpal dengan Syarikat Kencana Petroleum. Adalah tidak mungkin orang yang sama boleh berada di dua tempat iaitu di penjara dan bekerja dalam satu masa.

Bagi kes Hassannuddin Manna dan Salleh Samsul, ada individu lain yang menyamar menggunakan identiti kedua-dua orang pemilih berdaftar ini dan mereka itu bukan individu yang mendaftar sebagai pemilih dengan SPR.

Mapim bantah sikap biadap parti


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012

Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah sikap biadab parti politik tertentu yang meneruskan serangan serta penghinaan terhadap hukum hudud.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Gerakan dan MCA menggunakan kesempatan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk melancarkan kempen anti hudud dengan menyatakan pendirian secara terbuka yang melampau.

“Kita tidak mempunyai masalah jika mereka tidak bersetuju dengan hukum hudud dilaksanakan ke atas bukan Islam tetapi mereka dilihat cuba berselindung di sebalik alasan hudud yang diutarakan iaitu hudud buatan Pas untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh perasaan umat Islam.

“Pakar undang-undang dan ahli ilmuan Islam boleh berhujah jika mereka bersedia untuk memahami kenapa hukum hudud jauh lebih berkesan dalam membanteras gejala jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azmi berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Gerakan Kedah yang merendahkan hukum hudud dianggap sengaja mahu memprovokasi sentimen agama antara orang Islam dan bukan Islam.

“Mereka mencari alasan untuk menanamkan kebencian orang bukan Islam kepada hukum Islam dan menghilangkan hormat terhadap kedudukan Islam di negara ini.

“Hudud kini jadi bahan serangan murahan kepada parti politik mahu mencari kelebihan untuk meraih pengundi bukan Islam. Apakah isu yang mempunyai implikasi menyentuh sensitiviti umat Islam tidak diambil peduli?,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai gambaran buruk diberikan kepada hukum hudud termasuk tohmahan ia adalah hukum sebuah parti politik dengan harapan bagi kesan negatif kepada golongan bukan Islam.

“Kita tetap menyokong pelaksanaan hukum Allah kerana ia adalah kewajipan dan keyakinan bahawa hanya ia sahaja yang mampu mengekang gejala jenayah sekarang. Kita berpendirian teguh serangan terhadap hudud tidak akan di kompromi.

“Hukum Islam diperkatakan secara tidak beradab kerana selama ini orang bukan Islam sering dipengaruhi tanggapan hukum Islam tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana dianggap berbilang bangsa serta agama,” katanya.

Strategi BN hadapi PRU13 lebih baik banding 2008

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN (Sinar Harian Online)
23 Oktober 2012

Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Berbanding 2008, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini bakal menyaksikan persaingan yang cukup sengit dalam meraih undi golongan muda yang merupakan kelompok paling penting bagi menentukan siapa yang bakal menguasai Putrajaya, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sejarah pahit pada pilihan raya umum 2008 katanya, mengajar Umno-Barisan Nasional betapa undi golongan belia memainkan peranan yang cukup besar dan harus dikembalikan.

Sementara pembangkang pula katanya, perlu “bermain di atas padang yang sama rata” berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini, kita sudah ada 11 pemain di atas padang. Yang menjadi masalah pada 2008, saya ingat kita hanya ada lima orang pemain sahaja. Persaingan sengit. (Kita lihat) strategi siapa yang berjaya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Saifuddin menambah, peranan yang dimainkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan muda wajar diberi pengiktirafan kerana ia berjaya menarik kembali sokongan generasi muda yang sebelum ini beralih arah kepada pembangkang.

“Saya fikir untuk kali ini, kita lebih bersedia. Kredit harus diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memang secara tulen merapati dan mendengar suara orang muda. Ini sebenarnya kita sudah buat (sebelum ini) tetapi Datuk Najib memperbaharuinya,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online.

Menurut Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, kredit juga harus diberikan kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berjaya menggerakkan unit media baru termasuk menganjurkan program bagi membantu golongan belia mencari pekerjaan melalui program Karnival Kerjaya Pemuda BN.

“Ini kita sudah ke hadapan, ini bukan politik undi tetapi sudah kepada politik bakti,” kata Saifuddin.

Berhadapan dengan generasi muda yang dilihat lebih gemar memilih untuk menjadi pemerhati dan berstatus pengundi atas pagar, Saifuddin mengakui bukan mudah sebenarnya untuk menawan hati kelompok ini.

“Umumnya orang muda memang sinis, skeptikal malahan menolak politik. Tetapi mereka masih punya keyakinan terhadap negara demokrasi dengan syarat, demokrasi perlu ditransformasikan.

Sebab itulah saya bercerita tentang politik baru. Mewujudkan iklim dan budaya politik yang lebih sihat dan segar.

“Orang muda ini sangat kritikal. Mereka tahu sama ada kita ‘real’ atau hanya ‘political’. Political maksudnya kempen sahaja, gimik sahaja. Mereka tahu. Dia boleh rasa,” katanya.

“Tetapi kalau kita ‘real’ dengan dia, tak perlu pun pakai macam pakaian dia, tak payah guna bahasa-bahasa dia, tak payah pun nyanyi lagu-lagu dia, tapi kita ‘real’. Dia tahu. Abang ini betul-betul serius, tulen dan hendak dengar masalah dia dan akan bawakan suara mereka,” tambah beliau.

Menurut Saifuddin lagi, ahli-ahli politik Umno-Barisan Nasional bukan sahaja perlu mendekati golongan ini tetapi harus juga menyelami jiwa mereka kerana hanya dengan cara itu, kepercayaan boleh diraih dan perkhidmatan boleh disalurkan kepada kelompok ini.

“Kita kena menyelami (jiwa generasi muda ini) sebenarnya. Apa sebenarnya pemikiran mereka, apakah minda dan aspirasi sebenar orang muda itu. Dan, kalau kita betul-betul menyelami mereka, maka kita bukan hanya dapat mendekati, kita bukan hanya menggunakan media baru tetapi kandungan media baru itu juga bersesuaian dengan mereka,” jelas beliau.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ketua Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Datuk Seri Profesor Syed Arabi Idid menunjukkan minat politik di kalangan generasi muda meningkat menjelang PRU13 ini.

Kajian yang dilakukan ke atas 1,370 belia dalam kumpulan umur 21-35 tahun di seluruh negara mendapati mereka sensitif terhadap masa depan mereka dan negara.

Hasil kajian itu juga mengesahkan tanggapan umum bahawa semakin ramai muda-mudi hari ini bergantung kepada Internet berbanding media arus perdana untuk mengikuti perkembangan dalam negara.

Satu lagi penemuan Syed Arabi adalah minat politik dalam kalangan generasi muda hari ini adalah tinggi dengan 60 peratus daripada responden berbahas politik dengan rakan-rakan, 52 peratus dengan anggota keluarga dan 32 peratus dengan aktivis politik.

Seramai 88 peratus daripada responden yang kesemuanya merupakan pengundi, menunjukkan keyakinan tinggi yang masa depan negara mereka adalah cerah atau sangat cerah.