Ahad, 6 Oktober 2013

Shahrir: Kod etika pemilihan Umno tak munasabah




Bernama


Penyandang Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menyifatkan kod etika pemilihan Umno kali ini sebagai tidak munasabah kerana menyukarkan calon untuk berkempen.

Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata sebagai orang yang menawarkan diri, maka, setiap calon yang bertanding perlu diberi ruang seluasnya supaya mereka berpeluang menyuarakan hasrat dan bukan sekadar terbatas pada sesi pengenalan calon.

"Saya berasa pelik dan tidak munasabah kerana pada pandangan saya peluang berkempen harus dibuka seluas-luasnya.

"Ini kerana sesi pengenalan calon hanya sebagai acara rasmi untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan," katanya selepas menghadiri sesi taklimat dan pengenalan calon Umno Bahagian Johor Baharu, di Johor Bharu, hari ini.

Shahrir berkata beliau yakin masalah politik wang juga tidak akan timbul sekiranya calon diberikan peluang berkempen memandangkan bukan mudah menyogok wang kepada perwakilan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini.

"Kita mahu pertandingan yang sihat. Tidak perlu takut soal politik wang kerana kita ada Lembaga Disiplin parti yang boleh mengambil tindakan dan saya ingat bukan mudah juga hendak jumpa kira-kira 150,000 perwakilan yang ada," katanya.

Beliau mengulas beberapa larangan ketika berkempen termasuk semua calon di peringkat bahagian atau pusat dilarang berkempen bersendirian sebaliknya hanya dibenarkan memperkenalkan diri pada majlis rasmi anjuran Badan Perhubungan Umno negeri.

Shahrir akan ditentang Ketua Umno Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu Zulkifli Ismail dan Ketua Umno Cawangan Taman Suria Datuk Ahmad Kemin pada pemilihan kali ini.

Mengenai pemilihan di Bahagian Johor Baharu, beliau berkata seramai 646 perwakilan daripada 83 cawangan dalam bahagian terbabit akan membuat pemilihan bagi menentukan kepimpinan parti.

Katanya pemilihan pada peringkat cawangan sebelum ini menyaksikan hampir 30 peratus berlaku peralihan kepimpinan yang sekaligus membuktikan Umno sebagai masih 'sihat' dan 'kuat' serta terus mendapat sambutan golongan muda.

Ali Rustam kecewa pengundi Cina tak kenang jasa





Bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau bertanding jawatan naib presiden Umno kali ini antara lainnya kerana kecewa apabila jasanya tidak dihargai oleh kumpulan pengundi Cina semasa pilihan raya umum 5 Mei.

Mohd Ali yang menimbulkan soal 'tsunami Cina” dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia itu berkata, beliau memilih untuk mempertahankan hak orang Melayu dan Islam kerana tidak mahu membiarkan desakan DAP.

Dalam wawancara itu, Mohd Ali pada awalnya ditanya sekiranya beliau telah mendapatkan pendangan dari golongan Cina berhubung keputusannya untuk bertanding bagi merebut jawatan naib presiden Umno kali ini.

Katanya, golongan MCA memberitahunya bahawa mereka tidak dapat menyatakan kehendak mereka kerana “DAP dan Dong Zong telah cucuk masyarakat Cina” untuk mengambil alih pentadbiran persekutuan dan negeri.

“Jadi jasa saya langsung mereka tidak kisah sehingga banyak orang MCA dan Gerakan pun terpengaruh”, katanya yang menambah, satu semangat baru diperlukan untuk mengelakkan orang Melayu terus berpecah

“DAP sedang mendesak dan kita mesti menghadapinya. Saya kalau hendak berhenti (dari politik) memang boleh tetapi takkan saya hendan biar berlaku depan mata sedangkan kita telah alami tsunami Cina bagaimana mereka tidak menghargai jasa kita,” katanya.

Oleh itu, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama dalam Umno itu memandangkan parti tersebut adalah wadah terbaik untuk memelihara hak orang Melayu dan Islam, katanya lagi.

Khairy setuju syarat kempen perlu dilonggarkan




Bernama
5:25PM Okt 5 2013

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersetuju dengan teguran beberapa calon agar syarat berkempen pada pemilihan Umno kali ini perlu dilonggarkan bagi memberi peluang kepada calon
memperkenalkan diri.

Beliau berkata ini kerana ada calon yang kurang dikenali perwakilan dan perlunya mereka diberikan ruang secukupnya untuk memperkenalkan diri.

"Semua orang kenal saya tapi orang yang lawan saya (bagi jawatan Ketua Pemuda) mungkin orang tak kenal. Kalau kita nak bagi orang lawan bagilah gelanggang yang terbuka, gelanggang yang sama rata.

"Kita kena terbuka sikit. Bukan kita menggalakkan kempen tidak sihat. Kalau ada kempen tak sihat seperti fitnah, serangan peribadi, politik wang, ok yang itu ambil tindakan tapi sekadar nak jumpa perwakilan, adakan majlis biasa nak jumpa dengan perwakilan saya rasa harus dibenarkan," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada pemberita selepas merasmikan Larian Terbuka Kelantan 2013 di Kota Bharu, hari ini.

Seramai 750 peserta menyertai larian anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan bertema "Be Active, Beat Diabetes".

Semalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan calon Majlis Tertinggi (MT) menyifatkan ada sebahagian peraturan dalam pemilihan Umno kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.

Antara peraturan itu katanya ialah calon tidak boleh berkempen secara bersendirian bagi bertemu dengan anggota Umno akar umbi dan memperkenalkan diri.

Mengenai potensi dirinya mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti 12 Oktober ini, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatannya sebagai naib ketua Pemuda sebelum ini dan Ketua Pemuda sekarang.

Mukhriz setuju calon naib presiden berbahas




Bernama
10:32AM Okt 6 2013

Calon naib presiden Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyambut baik cadangan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam supaya semua calon naib presiden ditampilkan serentak menerusi televisyen untuk membahaskan idea mereka.


Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata sekiranya ibu pejabat Umno bersetuju forum seumpama itu diadakan, beliau sedia menyertainya.

Beliau berkata ia boleh memberi ruang kepada calon untuk berkongsi fikiran masing-masing dalam memberi sumbangan kepada parti serta memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat pilihan yang tepat.

"Kalau difikirkan bahawa satu forum melibatkan keenam-enam calon wajar diadakan, maka saya bersedia menyertainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam tadi.

Selain Mukhriz, lima lagi calon naib presiden terdiri tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz berkata jawatan naib presiden merupakan jawatan kanan di dalam parti dan perwakilan pasti berminat mengetahui pandangan setiap calon dalam pelbagai isu.

Mengenai peluang pada pemilihan Umno, Mukhriz berkata beliau mendapat maklum balas yang positif.

Bagaimanapun Mukhriz berkata beliau terpaksa mengurangkan masa berkempen bagi pemilihan Umno 19 Okt ini bagi memberi tumpuan terhadap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah yang bakal diadakan 4 Nov ini.

Sebagai contoh, katanya beliau hanya dapat menyertai sesi pengenalan calon di Negeri Sembilan pada 8 Okt ini dan tidak dapat hadir dalam sesi di Melaka dan Johor pada hari sama kerana perlu berada di Sungai Limau.

- Bernama