Khamis, 22 November 2012

Jakim: Doa 'KO BN-Umno' langgar adab


Keratan Sinar Harian Isnin

KUALA LUMPUR - Tindakan Pas mengadakan solat hajat serta doa menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai melanggar adab dan tatacara berdoa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha berkata, sesuatu doa itu hendaklah dilakukan bersesuaian dengan kehendak syarak iaitu bagi tujuan kebaikan dan bukannya dilakukan dengan niat atau tujuan lain.

"Jika kita meneliti sejarah baginda Rasulullah S.A.W. sendiri, beliau tidak pernah berdoa untuk kecelakaan umatnya walaupun Rasulullah pernah dicaci maki oleh orang yang membenci perjuangannya.

"Kita perlu ingat bahawa doa itu merupakan satu ibadat dan cara hidup yang diajar oleh Rasulullah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Othman menasihatkan umat Islam supaya tidak mendoakan kecelakaan mana-mana pihak atas sebab kejahilan atau kekurangan seseorang itu kerana doa sebagai senjata umat Islam bertujuan menyeru ke arah kebaikan serta demi kemaslahatan (kepentingan) umum.

"Hayatilah etika bersangka baik kerana besar kemungkinan orang yang kita benci dan caci itu mungkin lebih baik di sisi Allah dan umatnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Masitah Ibrahim berkata, setiap umat Islam perlu mengikut adab dan tatacara berdoa kerana doa ini adalah otak kepada ibadah.

"Sebagai salah satu ibadah, maka kita hendaklah mendoakan yang terbaik sesama manusia bukannya perkara yang sia-sia atau keburukan.

"Tindakan ini juga boleh dikatakan sebagai terdesak untuk mendapatkan kuasa dan bermotifkan politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/Aids di sini.

Masitah berkata, kandungan doa itu jelas menunjukkan Pas terlalu mempolitikkan agama serta menjadikan agama sebagai senjata politik mereka untuk menarik undi.

Katanya, tindakan sebegini jelas tidak melambangkan keperibadian seorang Islam dan beliau berharap agar masyarakat boleh menilai sendiri tindakan Pas itu.

Beliau juga menolak presepsi negatif Pas kepada kerajaan sedia ada yang dikatakan bersikap 'zalim' kepada rakyatnya dengan menyifatkan kenyataan tersebut berbaur politik.

"Kalau kata BN ini zalim, Pas tidak mungkin boleh mengadakan sebarang aktiviti politik di negara ini," katanya.

Pas mengadakan solat hajat di Stadium Muhammad IV di Kota Baharu 16 November lepas yang dipimpin adik Nik Aziz, Nik Razi Nik Mat sempena Muktamar ke-58 parti itu.

Sabotaj parti: Dua ahli Umno dipecat

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 November 2012



KUALA LUMPUR - Dua ahli Umno dari kawasan Semporna Sabah dipecat manakala seorang digantung tiga tahun atau satu penggal pemilihan kerana didapati bersalah terbabit dalam kes sabotaj parti.

Tindakan ini susulan penubuhan satu jawatankuasa khas baru-baru ini bahawa sesiapa yang didapati mensabotaj parti akan dikenakan tindakan tegas oleh parti terbabit.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menegaskan, bahawa tiada sebarang kompromi kepada sebarang anasir yang cuba merosakkan perjuangan parti termasuk pelanggaran disiplin yang telah, sedang dan akan diambil.

“Ini adalah selari dengan transformasi politik oleh kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan media yang turut memaklumkan berkaitan anggota parti yang telah diambil tindakan.

Kes-kes yang telah diputuskan oleh jawatankuasa itu membabitkan kesalahan-kesalahan seperti sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno.

“Tidak mengikut perintah-perintah parti dan juga tidak menjalankan dasar-dasar parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno yang melibatkan Bahagian Arau, Padang Besar dan Kangar, Perlis iaitu empat orang didapati bersalah dan diberi amaran dan seorang didapati tidak bersalah," katanya lagi.

Menurut Ahmad Rithauddeen, keputusan itu hasil daripada persidangan anggota Lembaga Disiplin pada 6 September dan 8 Oktober lalu.

Nama-nama individu yang terbabit ialah Ab. Habi Mustapha (Semporna), yang melakukan kesalahan di bawah Fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan Umno Dibaca Bersama Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno, didapati bersalah dan dipecat.

Rakannya dari bahagian sama, Abdul Majid Palah yang melakukan kesalahan fasal sama turut dikenakan hukuman pecat dari parti.

Seorang lagi dari bahagian Semporna, Nisfu Palah, terlibat dengan kesalahan fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan Umno Dibaca Bersama Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno, yang digantung tiga (3) tahun daripada 6 September 2012 atau satu (1) Penggal Pemilihan.

Empat yang lain, Syed Atif Syed Abu Bakar dan Abdul Halim Abdullah Sunny dari Arau, Yaacob Man (Padang Besar) dan Biswardi Mohamad Hasbi (Kangar), masing-masing diberikan amaran.

Sementara Datuk Zahidi Zainul Abidin dari Padang Besar setelah dilakukan siasatan didapati tidak bersalah.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli parti yang mengkhianati atau mensabotaj parti tersebut pada 19 Oktober lalu.

Mekanik minta SPR siasat status daftar undi isteri

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 November 2012

Mariani didapati mengundi di dua tempat berlainan setelah disemak di laman web SPR.

Mariani didapati mengundi di dua tempat berlainan setelah disemak di laman web SPR.

TEMERLOH – Seorang mekanik meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat status daftar pemilih isterinya yang didapati mengundi di dua tempat berlainan iaitu di Temerloh dan Pendang, Kedah.

Mazlan Mohd Yasin, 42, berkata dia keliru dengan apa yang dipaparkan di laman web SPR kerana isterinya tinggal di sini bersamanya.

Katanya, masalah itu disedari empat bulan lalu semasa membuat semakan daftar pemilih di laman web SPR.

Isterinya Mariani Said, 37, tidak pernah daftar mengundi sebelum ini dan inilah kali pertama dia mendaftar sebagai pemilih.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kekeliruan dan dia mengesyaki ada dua individu berlainan mempunyai nombor kad pengenalan sama dengan nama yang juga sama.

“Saya syak ada dua individu bernama Mariani Said memiliki nombor kad pengenalan sama iaitu isteri saya dan seorang lagi yang tidak diketahui kerana setahu saya untuk daftar dengan SPR memerlukan kita membawa kad pengenalan.

“Sekiranya benar berlaku kes kesamaan ini, saya khuatir akan timbul masalah dalam urusan pinjaman bank dan sebagainya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Pulai, di sini.

Mazlan berkata, maklumat yang diperoleh daripada laman web SPR individu berkenaan didaftarkan mengundi di Kampung Penyarom, dalam kawasan Dun Tokai, Parlimen Pendang, Kedah.

Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Temerloh dan anggota bertugas menasihatkan agar dia menukar alamat tempat mengundi.

“Tetapi saya pelik, setelah penukaran alamat dibuat masih terdapat dua tempat mengundi berbeza pada nama yang sama manakala status permohonan menukar alamat isteri saya pula masih dalam proses," katanya.

Kata Mazlan, dia berharap hasil siasatan SPR itu nanti dapat dimaklumkan kepada dia dan isteri supaya tidak timbul kekeliruan.

Muhyiddin: 'BN tidak boleh kehilangan Sabah'

21 November 2012

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan Sabah pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau berkata, ada pihak tersalah faham dengan menyifatkan Sabah sebagai 'deposit tetap' BN, sedangkan sebenarnya negeri ini sama pentingnya dengan negeri lain.

"Sabah sangat penting bagi kita (BN). Kita tidak boleh kehilangan Sabah. Kita perlu pertahankannya dengan sedaya upaya," katanya pada majlis sarapan pagi dengan anggota Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan veteran Umno di sini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Muhyiddin melahirkan harapan agar Mubarak akan terus memainkan peranannya untuk membantu kerajaan BN melaksanakan dasar dan program pembangunan dengan sering turun padang untuk merapatkan lagi hubungan dengan rakyat, terutama di peringkat akar umbi.

"Walaupun sekarang anda (anggota Mubarak) ada banyak masa untuk bersama keluarga, tapi saya percaya ingin terus berkhidmat kepada rakyat dengan sedapat mungkin dan kerajaan menghargai serta mengucapkan terima kasih atas usaha murni anda ini.

"Saya yakin anda terus mengikuti perkembangan politik semasa dan bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. BN sudah berkhidmat kepada rakyat
selama lebih 50 tahun dan rakyat semakin meyakini kita. Oleh itu, kita tidak boleh menghampakan mereka sekarang," katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan Mubarak bahawa kini rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan berikutan kemajuan teknologi komunikasi maklumat.

"Ada orang yang menjanjikan bulan dan bintang. Mubarak boleh memainkan peranannya dalam menangkis pembohongan dan janji kosong itu agar ia tidakmemberi kesan negatif terhadap rakyat.

"Kita sedar kita dipilih oleh rakyat. Oleh itu, sambil mengajak rakyat menghakimi kita, kita juga perlu pastikan kita memberi yang terbaik kepada mereka agar mereka terus menyokong kita dan memberi kemenangan kepada kita pada pilihan raya kelak," katanya. - Bernama

Muhyiddin: BN kini lebih mantap untuk hadapi PRU13

21 November 2012

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PENAMPANG - Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam kedudukan yang amat kuat dan kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jentera BN sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya itu yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik negara.

"Walaupun ada usaha menjatuhkan kerajaan BN, namun kita tidak membenarkan mereka...kita akan 'bermati-matian' untuk mempertahankan kerajaan BN," katanya semasa merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-27 di Dewan Hongkod Koisaan, dekat sini, hari ini.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata PBS merupakan aset penting untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya yang akan datang.

Beliau yakin PBS, dibawa pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang begitu berwibawa, berani dan tegas, mampu membantu memastikan Sabah bukan sahaja kekal menjadi 'simpanan tetap' untuk BN tetapi kuat dan kukuh.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan pelbagai pembohongan pemimpin pakatan pembangkang dalam usaha untuk menduduki Putrajaya.

"Apa yang pasti ialah selepas pilihan raya umum nanti Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal sebagai Perdana Menteri dan begitu juga Datuk Seri Musa Aman di Sabah," katanya.

Katanya kepimpinan Najib yang memperkenalkan transformasi luar biasa untuk memajukan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 telah meletakkan negara ini antara negara yang paling menarik dan paling pesat membangun di rantau ini.

Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan mempunyai agenda besar untuk memajukan Sabah dan oleh itu, kerajaan BN perlu dikekalkan.

Mengenai persediaan pilihan raya akan datang, beliau meminta penyokong BN termasuk anggota PBS supaya menerima dan menyokong siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon.

"Kalau calon BN menang tentu sekali ia menyumbangkan kepada kemenangan BN secara keseluruhannya. Sebab itu, kita pastikan semua calon BN menang," katanya.

Menyentuh permintaan parti-parti komponen BN di Sabah termasuk PBS untuk mendapatkan tambahan kerusi pada pilihan raya akan datang berikutan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar BN pada 17 Sept 2008, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dibincangkan.

"Kita serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya dan saya fikir perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama