Jumaat, 18 Oktober 2013

Nasib Umno di tangan mereka...



< 1 / 1 >

APA sekalipun keputusan yang dicatatkan dalam pemilihan ketua bahagian esok, yang pastinya tanggungjawab yang akan digalas mereka yang menang nanti pasti berat terutama dalam menyediakan Umno dan BN untuk berhadapan PRU14 nanti.

Sebagai sebuah negeri yang masih mampu mengekalkan kemenangan dua pertiga pada PRU13, pastinya Melaka akan menjadi antara sasaran utama pakatan pembangkang pada 2018 nanti, atau mungkin lebih awal sekiranya PRU14 diadakan sebelum itu.

Tanggungjawab mereka yang bakal bergelar ketua bahagian mulai esok kini bukan hanya tertumpu pada bahagian masing-masing tetapi lebih penting memastikan Melaka terus menjadi kubu kuat BN.

Melihat kepada barisan mereka yang akan bertanding, termasuk mereka yang sudah menang tanpa bertanding, jelas setiap bahagian Umno di Melaka akan dipimpin mereka yang bukan calang-calang orang.

Lima dari enam penyandang ketua bahagian mencatatkan kemenangan selesa pada PRU13 lepas. Hanya Ketua Bahagian Bukit Katil, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang tewas di parlimen Bukit Katil.

Sehubungan itu, jelas barisan kepimpinan Umno di semua bahagian berada di dalam tangan mereka yang sudah membuktikan kemampuan sebagai pemimpin serta mampu menggalas apa jua tanggungjawab yang bakal diletakkan di bahu mereka.

Dalam konteks ini, bahagian Masjid Tanah dan Jasin pasti menjadi perhatian ramai kerana kedua bahagian ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, termasuk cabaran bekas Ketua Menteri dan bekas
Ketua Pemuda Umno, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di bahagian Masjid Tanah.

Sebagaimana dalam mana-mana pertandingan, pasti akan ada mereka yang menang dan kalah. Namun apa yang jauh lebih penting adalah bagi mereka yang tewas menerima keputusan perwakilan dengan hati terbuka.

Dengan kebangkitan yang dicatatkan pakatan pembangkang dalam PRU12 dan PRU13, ahli Umno kini tidak mampu lagi membiarkan sentimen peribadi atau ketaksuban terhadap seseorang pemimpin mencorakkan keputusan mereka semasa mengundi.

Perkara asas yang perlu dipertimbangkan bukanlah siapakah yang bakal memimpin bahagian mereka tetapi siapakah yang bakal menjadi sebahagian daripada jeneral yang akan mempertahankan Melaka daripada dicerobohi pakatan pembangkang.

Kesimpulannya, perwakilan yang mengundi esok perlu berpandangan luas dan memilih mereka yang bukan sahaja boleh memimpin bahagian tetapi juga dalam konteks lebih luas, mempertahankan majoriti dua pertiga Melaka pada PRU14 nanti.

Kekal semangat kekeluargaan





PETALING JAYA - Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemimpin muda parti itu perlu dibimbing dalam mengekalkan semangat kekeluargaan Umno yang telah wujud sekian lama.

Hishammuddin berkata ini antara usaha yang akan dilaksanakannya jika dikekalkan sebagai naib presiden parti dalam pemilihan Sabtu ini.

Katanya masa depan parti bergantung kepada pemimpin muda yang kini berada di barisan hadapan bersama-sama pemimpin sedia ada.

"Semua pihak perlu terus berganding bahu membawa transformasi dalam parti malah pada masa yang sama terus memperbaiki kelemahan dalam parti agar terus utuh.

"Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan sayap Pemuda dan Puteri yang baru bermesyuarat memilih ketua masing-masing minggu lepas dan malam ini berkumpul dalam satu majlis dalam suasana harmoni," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pemilihan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno di sini, malam semalam.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, berkata semangat kekeluargaan itu perlu dibawa ke pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, Kedah bulan depan serta dalam pilihan raya seterusnya.

Semua anggota Umno perlu menanam semangat kekeluargaan dan mengekalkan semangat tersebut bermula di peringkat akar umbi, katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata semangat perpaduan perlu ada dalam parti bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan anggota.

Katanya semua pihak perlu berganding bahu dan merapatkan barisan walau dalam apa keadaan sekalipun. - Bernama