Rabu, 16 Januari 2013

Najib: 'Pengundi Selangor, yakin dan berilah kami peluang'

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Januari 2013

Foto fail, Najib Tun Razak berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan tahun lalu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sambil mengakui ada kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) masa lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak merayu agar perikatan itu diberikan satu peluang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk mentadbir semula Selangor.

Pengerusi BN ini berkata, pihaknya berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

"Kami sedar, terdapat kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran Barisan Nasional yang lalu. Atas kesedaran ini, kami berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

"Janji kami adalah Janji Ditepati. Yakinlah dan berilah peluang kepada kami untuk membawa perkhidmatan yag lebih baik kepada rakyat Selangor," kata beliau dalam perutusan sempena tahun 2013 yang dihantar kepada pengundi di negeri Selangor.

Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, beliau amat bersyukur kerana negara diberikan kesejahteraan yang berterusan sepanjang tahun lalu.

"Alhamdulillah, Malaysia terus aman dan makmur tanpa mengalami bencana besar.

"Negara kita juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik secara keseluruhannya.

"Ini merupakan hasil usaha bersama rakyat Malaysia menggembleng tenaga dan usaha bagi memastikan negara ini kekal sejahtera," katanya lagi.

Dalam mesej satu halaman, Perdana Menteri berkata, 2013 merupakan tahun penting kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada rakyat Selangor sendiri, setelah lebih empat tahun berhadapan dengan kecelaruan di bawah kerajaan DAP, PKR dan Pas.

Oleh itu katanya, "kini tiba masanya untuk berubah."

"Mandat baru perlu diamanahkan kepada Barisan Nasional menjelang pilihan raya yang pasti berlaku pada tahun 2013," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Selangor, negeri paling maju di Malaysia jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu. Pakatan Rakyat dianggotai Pas, PKR dan DAP.

Najib pernah melahirkan permohonan maaf atas kesilapan dan kekurangan disebabkan BN sebelum 2008.

1 Feb tarikh akhir buka bilik gerakan pusat daerah mengundi BN


                                                             


Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional(BN) di seluruh negara mesti dibuka selewat-lewatnya 1 Februari ini.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap pengerusi BN sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Ini bermakna semua bahagian seluruh negara mempunyai masa lebih kurang dua minggu bagi mempersiapkan PDM masing-masing sama ada urusan menyewa atau mengenal pasti bangunan atau lokasi PDM di bahagian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis Tinjauan Mesra Penerangan ke PDM Parlimen Ampang dan Pandan di ibunegara hari ini.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno juga mengingatkan setiap PDM perlu dilengkapi bendera Umno dan BN serta maklumat pengundi selain dipenuhi dengan aktiviti harian.

"Saya dah tulis surat pada semua bahagian agar dijalankan aktiviti seperti yang telah ditetapkan iaitu Setiap Hari Ada Program Di PDM (SHADPDM) mengikut kaedah yang telah mula dijalankan di beberapa bilik gerakan mulai tahun lepas," katanya.

Katanya ini bermakna akan terdapat 7,531 PDM di seluruh negara manakala terdapat beberapa Umno Bahagian di beberapa negeri telahpun membuka PDM masing-masing.



- Bernama