Isnin, 25 Mac 2013

Najib: 'Beri BN mandat 5 tahun lagi'



Foto fail, Najib Tun Razak berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan tahun lalu. - Foto Bernama

KUANTAN - Warga Pahang membanjiri tapak program Jelajah Janji Ditepati terakhir malam tadi untuk mendengar amanat Perdana Menteri yang antara lain meminta rakyat menilai sendiri keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji demi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus membandingkan kejayaan itu dengan janji-janji kosong yang ditabur pembangkang selama ini.

Beliau yakin rakyat telah dapat melihat kejayaan kerajaan dalam tempoh empat tahun ini dan meminta mereka memberi mandat baharu kepada kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang untuk melakukan yang lebih baik buat negara.

"Beri kita mandat lima tahun lagi untuk lakukan yang lebih hebat. Kita janji akan bekerja bersungguh-sungguh. Insya-ALLAH, lima tahun lagi Malaysia akan bersinar sebagai negara yang berjaya dan keunggulan Malaysia akan terserlah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara itu di padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 (MPK2) di sini.

Najib berkata mandat baharu amat penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala agenda yang telah direncanakan ke arah mencapai status negara
maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Perjalanan kita masih jauh sebab kalau hendak Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak mengambil setahun dua...tetapi sebelum sampai ke
tahap itu, kita kena melangkah satu jambatan iaitu Pilihan Raya Umum ke-13.

"Kalau kita dapat pintas ke sebelah, yakin dan percayalah dengan mandat baharu itu kerajaan akan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang," tegas Perdana Menteri yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata, sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009, kerajaan telah membentangkan kepada rakyat pelbagai program penambahbaikan bermula dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi (ETP) diikuti Program Transformasi Politik dan Sosial.

Najib berkata, beliau baru-baru ini telah membentangkan laporan pencapaian GTP dan ETP yang mengupas satu persatu bagaimana kerajaan telah memenuhi janji kepada rakyat termasuk dalam soal memerangi kemiskinan, menyediakan peluang pekerjaan dan menjamin pertumbuhan ekonomi lebih baik.

Lebih dekat di hati rakyat, kerajaan juga telah mencatat kejayaan agenda transformasi antaranya dengan kewujudan Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat
1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, PR1MA dan Program 1Azam yang telah memberi manfaat kepada rakyat.
"Kita tak akan janji bulan bintang. Tapi tak cukup bulan dan bintang, mereka (pembangkang) cakerawala pun dijanji. Malah syurga pun dijanji semata-mata
meraih sokongan.

"Sebagai rakyat, kena tanya mereka yang suka tabur janji...berapa banyak yang ditunaikan. Banyak janji tinggal janji," katanya sambil mengingatkan rakyat
supaya tidak tertipu sekali lagi dengan pembangkang yang kini mula menabur janji baru melalui manifesto pilihan raya yang dilancarkan baru-baru ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan berita gembira kepada warga Kuantan apabila beliau mengumumkan pembinaan 20,000 unit rumah PR1MA di tiga
kawasan utama iaitu bandar Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM100 juta mencakupi masing-masing RM50 juta untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan banjir di Kuantan.

Bagi peringkat nasional, Najib mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM100 juta bagi skim pinjaman mikrokredit untuk tahun ini dan tahun depan.

Kuantan merupakan destinasi terakhir siri Jelajah Janji Ditepati yang bermula April tahun lepas di Batu Pahat, Johor.

Bagi menampilkan kelainan, program kali ini buat pertama kalinya diadakan pada waktu malam.

Najib, yang melakukan lawatan sehari ke Pahang, terdahulu merasmikan projek Rimbunan Kaseh di Kuala Lipis, melancarkan program Kawan 1M4U Fair 2013 di Pekan dan menghadiri jamuan malam dan kutipan amal untuk Sekolah Menengah Chong Hwa sebelum diakhiri dengan program Jelajah Janji Ditepati. - Bernama

Dun Selangor: SPR mahu 'tunggu dan lihat'


JAMILAH HAMZAH


Wan Ahmad Wan Omar

SHAH ALAM - Sambil menyifatkan langkah menteri besar menghadap Sultan Selangor berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam sebagai "sopan dan tertib", Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya mahu "tunggu dan lihat sahaja".

"Kita pun tidak pasti sebab beliau tak cakap... kita tunggu dan lihat sahaja.

"Tapi kemungkinan selepas mendapat nasihat sultan, mungkin hasratnya tak akan dibuat tapi kita tak tahulah... kita tunggu sahaja," katanya kepada kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen perlu mengikut prinsipnya.

Beliau berkata, Khalid mengambil langkah yang betul apabila menghadap sultan berhubung tarikh pembubaran Dun.

"Baguslah beliau (Menteri Besar Selangor) menghadap sultan, itulah yang dikatakan sopan dan tertib," katanya lagi.

"Inilah yang dikatakan demokrasi berparlimen, kita kena hormat hak sultan dan raja-raja dalam melakukan sesuatu perkara.

"Menteri Besar (Selangor) pergi berjumpa dengan sultan dan memohon pekenan itu, adalah baik dan langkah yang betul," katanya.

Semalam, Khalid berkata, Sultan Selangor perkenan untuk membubarkan Dun apabila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun tarikh pembubaran Dun Selangor hanya akan diumumkan selepas perayaan Chap Goh Mei minggu depan.

"Tuanku setuju untuk bubarkan Dun, tapi saya akan umum pada masa yang sesuai supaya ada upacara khas pembubaran itu.

"... Sultan tidak halang pembubaran itu, Tuanku cadangkan ia dibuat dengan tertib dan teratur," kata beliau.

Dun Negeri Sembilan sah hingga tengah malam Rabu ini


SYAMILAH ZULKIFLI
25 Mac 2013

Mohamad Hasan

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendiri Khamis ini jika tidak dibubarkan dan bukannya esok, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan petang ini.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan membabitkan perjalanan Dun yang menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan di bawah Fasal 56(3) menyebut Dewan akan berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama.

“Jadi secara automatik ia akan dibubarkan selepas itu kecuali dibubarkan terlebih dahulu.

“Masalahnya ialah bagaimana untuk menentukan tempoh lima tahun itu bermula atau telah tamat dan dalam dalam hal ini, kita guna Akta Interpretasi 1984 dan 1967,” kata beliau pada sidang media diadakan di kediamannya di sini.

Menurutnya, dalam akta itu dinyatakan, di bawah Seksyen 54(1) "in computing time for the purposes of any written law (a) a period of days from the happening of any event or the doing of any act or thing shall be deemed to be exclusive of the day on which the event happens or the act or thing is done."

Mohamad berkata, ia bermaksud bahawa apabila mengira waktu atau tarikh bermulanya bila dalam akta itu, hari kejadian tidak dikira sebagai hari bermula, sebaliknya hari esoknya.

“Jadi dalam hal pembubaran Dun secara automatik hari kejadian atau hari wakil rakyat mengangkat sumpah iaitu pada 27 Mac 2008 tidak dikira sebagai hari pertama Dun berjalan.

"Ia dikira pada hari keesokannya iaitu pada 28 Mac 2008. Merujuk perkara itu, umur Dun kita akan sampai 27 Mac 2013 pada 12 tengah malamnya dan genaplah lima tahun serta terbubar pada 28 Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu kerajaan sementara akan ditubuhkan dan jika Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu membubarkan Dun berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(2), maka tarikh akhirnya ialah 27 Mac ini.

Shahrir: DAP hanya mahu 'bunuh' MCA



25 Mac 2013

Shahrir Abdul Samad

JOHOR BAHRU - Tindakan DAP menghantar ramai pemimpin besarnya ke Johor untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hanyalah untuk satu tujuan iaitu 'membunuh' MCA di negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Anggota parlimen Johor Baharu itu berkata, DAP berharap apabila ia berjaya 'membunuh' MCA pada PRU13, parti pembangkang itu akan diangkat sebagai wakil tunggal kepada masyarakat Cina di Johor.

"Ini tujuan DAP sebenarnya, untuk mengalahkan MCA dan jikalau mereka berjaya, mereka akan mengubah suasana politik di Johor berasaskan kepada politik perkauman.

Adakah ini yang dimahukan oleh masyarakat Cina di Johor?," katanya mengulas merasmikan jentera PRU13 Puteri, Pemuda dan Wanita BN baru-baru ini.

Menurutya, DAP mahu melakukan perkara yang sama sebagaimana dilakukan parti pembangkang itu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas - 'membunuh' parti Gerakan di negeri pulau itu.

Walaupun DAP mendakwa ia sebuah parti pelbagai kaum, tetapi parti pembangkang itu hanya bertanding di kawasan majoriti pengundinya kaum Cina dan hanya menentang calon BN daripada parti MCA, kata Shahrir baru-baru ini ketika mengulas tindakan DAP memindahkan pemimpinnya bertanding di Johor.

DAP yang berhasrat menjadikan Johor sebagai medan utamanya pada PRU13, memutuskan untuk meletakkan penasihatnya Lim Kit Siang sebagai calon di kawasan parlimen Gelang Patah.

Parti pembangkang itu juga berhasrat meletakkan pakar strateginya, Liew Chin Tong yang juga merupakan anggota parlimen Bukit Bendera, sebagai calonnya di Johor dengan kemungkinan besar kerusi parlimen Kluang menjadi pilihan.

Anggota parlimen Johor Bahru itu berkata terdapat juga spekulasi pengerusi DAP Karpal Singh akan bertanding di Johor pada PRU13 ini, untuk kerusi parlimen Kulai yang kini disandang bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting.

Shahrir juga tidak menolak kemungkinan setiausaha agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanding di Johor memandangkan beliau dilahirkan di Johor Bahru.

Parlimen Kluang yang menjadi sasaran DAP kini disandang Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung, manakala parlimen Gelang Patah diwakili Tan Ah Heng.

Masyarakat Cina di Johor, kata Shahrir, perlu bertanya diri sendiri sama ada mereka mahukan DAP dan pembangkang untuk mempolitikkan semua perkara daripada pendidikan Cina kepada rumah ibadat dan agama, sebagaimana dilakukannya kini.

Berlainan dengan pembangkang, BN, katanya, tidak mencampuri urusan sekolah-sekolah Cina sebaliknya menyerahkan pengurusan kepada persatuan Tionghua, sama seperti yang dilakukan dalam pengurusan hal ehwal agama.

"DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempolitikkan semua perkara.

Masyarakat Cina, Melayu dan India di Johor perlu bertanya sama ada ini baik untuk masa depan di Johor dan Malaysia," kata Shahrir.

Mengenai kemungkinan PKR meletakkan bekas Panglima Tentera Darat Jen (B) Tan Sri Hashim Hussein sebagai calon mereka di kawasan parlimen Johor Bahru, Shahrir berkata apa yang lebih penting ialah sokongan pengundi, bukan calon. - Bernama