Jumaat, 15 Mac 2013

Kementerian Pertahanan kini bertanggungjawab jaga perairan timur Sabah


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelu ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan arahan terbaharu itu, perairan Sabah yang dikawal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya dengan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Saya menerima 'command' (kuasa pemerintahan) ini Jumaat lepas, yang suratnya telah diserahkan kepada saya oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri yang bertanggungjawab berhubung APMM.

"Command APMM di Sabah telah diserahkan kepada saya (Kementerian Pertahanan), tidak lagi di bawah JPM," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Singapura, Leftenan Jeneral Neo Kian Hong di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan penyerahan rasmi tersebut adalah perlu untuk mengkoordinasikan antara operasi yang dilakukan TLDM dan APMM.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan timbalan perdana menteri dan insya-Allah saya akan mengambil tanggungjawab ini untuk mempertahankan dan mewujudkan tanggungjawab 'surveillance' (pengawasan) di kawasan 1,400 km persisiran pantai dan kawasan perairan di timur Sabah ini," katanya.

Beliau berkata dengan penyerahan ini bermakna, Kementerian Pertahanan akan membantu APMM dari segi penambahan aset baharu dan keperluan lain yang perlu dibincangkan lanjut dengan Muhyiddin dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish.

Menjawab soalan berhubung tangkapan di Sabah, Ahmad Zahid berkata: "Kita mempunyai hubungan yang baik dengan Filipina dari segi pertahanan. Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire T Gazmin telah hubungi saya melalui telefon dan beritahu beliau telah mobilisasikan tentera laut dan pengawal pantai.

Katanya tangkapan yang dilakukan mempunyai dua bentuk iaitu mereka yang bakal menjadi penceroboh, iaitu yang datang dari kepulauan Sulu, ataupun yang datang dari perairan Malaysia masuk ke tempat mereka.

Mengenai lawatan tersebut, Ahmad Zahid menjelaskan ia adalah lawatan perpisahan Kian Hong kerana akan meninggalkan Angkatan Tentera Singapura sebelum bertugas dalam sektor awam.

"Dalam perbincangan itu, saya ada jelaskan apa yang berlaku di Lahad Datu. Tentunya walaupun mereka tak akan campur tangan dalam soal domestik di Malaysia, tetapi saya fikir sebagai sebuah negara Asean, mereka turut prihatin dengan permasalahan yang kita hadapi sekarang," katanya. - Bernama

Fathul Bari: Perpaduan Umno dan Pas perlu disegerakan

14 Mac 2013

Fathul Bari

KOTA BAHRU - Perpaduan antara Umno dan Pas perlu segera diwujudkan untuk kepentingan Islam dan orang Melayu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.

Beliau berkata perpaduan itu bukan untuk mana-mana pihak membubarkan parti tetapi mewujudkan kerjasama ke arah kebaikan untuk kekuatan kepada Islam dan orang Melayu.

"Umno telah lama hulur tangan untuk perdamaian dan perpaduan ke arah kebaikan, sewajarnya Pas menimbang dan menerima tawaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah isu-isu semasa kepada Penceramah Penerangan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

"Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda "Susulilah perkara yang buruk dengan perkara yang baik"," katanya sambil menjelaskan dalam konteks ini perkara yang buruk ialah perpecahan dan yang baik adalah perpaduan.

Beliau berkata tuntutan perpaduan itu adalah tuntutan syarie maka perkara syarie perlu dilaksanakan segera mungkin. - Bernama

Calon PRU13: Najib temu ketua komponen, disertai pengerusi BN negeri


14 Mac 2013

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan hampir enam jam dengan pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dipercayai berhubung senarai calon perikatan yang akan diturunkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sinar Harian Online difahamkan turut menghadiri pertemuan hari ini ialah Pengerusi BN negeri, yang terdiri daripada menteri besar dan ketua menteri.

Pertemuan hari ini sepatutnya diadakan 7 Mac lalu tetapi ditangguhkan ke hari ini.

Mengikut sumber, perjumpaan itu telah bermula sekitar jam 12.30 tengah hari tadi dan berakhir enam jam kemudian.

Sinar Harian Online dan beberapa media yang menunggu di pintu masuk utama Kompleks Pejabat Perdana Menteri mendapati kereta beberapa menteri besar dan ketua menteri keluar sekitar jam 6 petang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Sinar Harian Online yang menghubungi Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugessan mengesahkan Presidennya, Datuk Seri G Palanivel ada berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini di sini.

Namun beliau tidak dapat mengesahkan apa tujuan perjumpaan itu.

"Ya memang mereka ada berjumpa hari ini, tapi apa tujuannya saya tidak boleh bagitahu," katanya.

Difahamkan pertemuan hari ini diadakan dalam dua peringkat iaitu antara Najib, selaku Pengerusi BN dan Perdana Menteri dengan kesemua presiden komponan BN.

Ia disusuli dengan pertemuan bersama pengerusi-pengerusi BN negeri.

BN terdiri daripada 13 parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, LDP, PBRS, UPKO, SPDP dan PRS.

BN akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan kali ini.

Pertemuan hari ini sekali lagi bakal menggegar arena politik negara - sama ada pembubaran Parlimen akan bakal berlaku dalam masa yang 'sangat' dekat memandangkan Najib sehingga kini masih mahu berahsia berhubung tarikh itu.

Spekulasi semalam tersebar susulan pengumuman beberapa insentif sistem saraan perkhidmatan awam - Sistem Saraan Transformatif.

Selasa depan, Najib akan mengumumkan kad prestasi kerajaan dan disusuli dengan laporan tahunan Bank Negara.

Esok Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Kelantan dan disusuli satu pertemuan di kawasannya iaitu Pekan Sabtu ini.

Bagaimanapun penganalisis dan pemerhati meletakkan 20 Mac iaitu Rabu depan sebagai pembubaran susulan perkembangan semasa dan juga pembubaran secara automatik Dun Negeri Sembilan (26 Mac), Pahang (7 April), Johor (21 April), Selangor (22 April), Perak (24 April), Melaka (26 April), Perlis (28 April), Kelantan (28 April), Sabah (29 april) dan Pulau Pinang (2 Mei) dam Kedah (2 Mei).

Mandat kerajaan pusat pula akan berakhir 28 April.

Kelmarin, ketika muncul di TV3, Najib berkata, kerajaan mahu memastikan transformasi yang dilakukan termasuk dari sudut ekonomi difahami dan dirasai kesannya oleh rakyat sebelum memanggil PRU13.

Sehubungan itu, Najib menaruh sepenuh harapan agar rakyat dapat memberi mandat penuh kepada BN pada PRU13 ini bagi membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan dasar-dasar yang telah dibawa termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berkala.

Malah Najib memberitahu bahawa proses pemilihan calon BN untuk PRU13 juga belum selesai sepenuhnya.

"Hampir siap, tetapi setiap kali kita tengok, saya kira sampai kita umum nanti akan ada perubahan," kata beliau.

Najib turut menyatakan keyakinannya terhadap sokongan rakyat yang diterima sejak bergelar perdana menteri pada 2009 berdasarkan 'track record' yang baik termasuk ketika ekonomi global sedang merudum.