Selasa, 13 November 2012

Niat Nurul Izzah berdakwah kepada bukan Islam, kata Khalid Samad

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
sinar harian

Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad mempertahankan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersabit kenyataannya dalam isu kebebasan beragama sebagai bertujuan untuk berdakwah kepada bukan Islam di negara ini.

Bagaimanapun menurut Khalid, kenyataan Nurul Izzah itu dijadikan bahan fitnah dan sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu atas dasar kepentingan politik.

"Dia mengasaskan hujahnya kepada ayat 'La Iqra Haffidin' - tidak ada paksaan dalam agama.

"Forum dianjurkan di sebuah gereja. Maknanya dia pergi, latar belakangnya, hendak berdakwah, berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam, nak berdakwah menyatakan kepada orang bukan Islam, jangan takut pada Islam kalau ada pemerintahan yang berasaskan Islam sekali pun, soal kebebasan beragama dijamin dalam Islam. Itu konteksnya.

"..... hilangkan ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam tapi akhirnya dia ditempelak dengan tuduhan hendak memurtadkan orang," jelas Khalid.

Nurul Izzah pada 3 November lalu dijemput sebagai seorang panelis dalam forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa?

Pada sesi forum itu, Nurul Izzah ditanya "apabila anda bercakap tentang kebebasan beragama, adakah ini termasuk masyarakat Melayu sekali?".

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kemudian menjawab "bila anda bertanya kepada saya, tiada paksaan dalam agama. Dr Farouk pun telah memetik ayat Quran tersebut. Bagaimana anda boleh menanyakan kepada saya, atau kepada sesiapa pun… Bagaimanakah sesiapa boleh mengatakan, "Maaf, ini hanya untuk orang bukan Melayu".

"Ia mesti diaplikasi secara saksama. Inilah asas," Nurul Izzah dipetik sebagai berkata.

Adnan Yaakob sokong anggota Umno isytihar harta


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob

BERA - Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau menyokong jika anggota Umno yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke 13 mengisytiharkan aset atau harta mereka.

Katanya, ia adalah wajar supaya mereka 'bersih' daripada elemen prasangka sebelum layak dipilih mewakili parti dan mengelakkan seseorang itu hidup di luar kemampuan yang tidak seimbang dengan pendapatan.

"Kita memerlukan bakal calon yang berintegriti, bersih dan berwibawa kerana wakil yang ditonjolkan itu adalah mewakili sebuah parti yang hebat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 86 peneroka
Felda Tementi di sini hari ini.

Sabtu lepas, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan Khamis ini walaupun tidak semua dalam kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Manakala Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur hari ini mengenai cadangan itu berkata Umno belum membincangkannya.- Bernama

'Jangan hanya tuduh Umno libat rasuah'



Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - Persepsi rakyat kepada Umno terhadap gejala rasuah yang digambarkan seolah-olah hanya parti itu yang terlibat perlu dihakis kerana gejala tidak bermoral itu boleh melibatkan sesiapa sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, gejala tersebut tidak mengenal parti, pangkat, jantina, mahupun kaum, yang ianya tetap salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya menunding jari kepada Umno kerana sesuatu persepsi itu tidak semestinya benar.

"Jangan hanya menuduh rasuah ini hanya orang Umno itu tidak betul kerana rasuah ini merentas semua, tanpa mengenal siapa, yang mana rasuah ini adalah keruntuhan akhlak tanpa mengira apa juga partinya. Jika terlibat, salah tetap salah.

"Perlu menerima dengan terbuka bahawa sesungguhnya rasuah itu bukan hanya berlaku kepada orang-orang tertentu, parti-parti tertentu, tetapi rasuah berlaku kepada orang yang mempunyai nilai moral yang rendah," katanya pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Penerangan Bajet 2013 di Terminal Bas Jalan Duta, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan mengulas kenyataan setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor bahawa cabaran parti tersebut ketika ini adalah menangani isu persepsi rasuah.

Beliau menegaskan, dalam konteks tersebut, kerajaan Barisan Nasional (BN) serius menangani isu itu bagi usaha membasmi rasuah.

Katanya, apa yang penting adalah usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan sendiri, yang dalam masa sama mahu sebagai langkah menghakis persepsi rakyat terhadap Umno.

"Adakah kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak ini membiarkan rasuah? Tidak. Adalah kerajaan tidak berbuat sesuatu? itu tidak betul, kerana yang penting, kerajaan BN ada petunjuk prestasi utama (KPI) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang mana terdapat tujuh perkara utama dan salah satunya membasmi rasuah," katanya

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, pihaknya belum mempunyai sebarang rancangan untuk menetapkan agar setiap calon baru bagi pilihanraya umum akan datang, membuat pengisytiharan harta.

Katanya, sepanjang pengetahuannya perkara itu tidak pernah dibincangkannya, namun hanya semakan sama ada calon terlibat dengan perkara-perkara berkaitan bankrup sahaja dibuat.

"Masalah kita adalah senarai calon itu ramai, dan ia masih belum diputuskan, jadi jika mahu mereka ishtihar harta, mereka belum muktamad menjadi calon," katanya.

Ahad, 11 November 2012

Persepsi musuh utama Umno, kata SU Agung

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata masalah persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah air.

Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.

Malah terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia yang 'angkuh hati' dan sanggup menyebarkan persepsi buruk mengenai parti.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Ibu Pejabat Umno di sini sempena Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 1 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan dihadiri 2,759 anggota perwakilan, manakala Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri selama dua hari akan bermula 27 Nov, dan setiap sayap parti itu di wakili 991 perwakilan.

Tengku Adnan berkata walaupun menghadapi kesukaran berdepan 'lawan' itu, beliau optimis imej parti telah dan akan menjadi lebih baik melalui usaha pemulihan yang dilaksanakan termasuk transformasi politik yang dicetus Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bekas anggota Umno yang menyebarkan persepsi negatif terhadap parti itu perlu menilai diri mengapa mereka tidak berjaya dalam Umno.

"Yang kecewa, keluar parti kita tahu. Bila tak berjaya dalam parti dia keluar. Cuba dia fikir kenapa dia tak berjaya dalam Umno. Mesti ada sebab. Jangan fikir mereka disekat, ditekan," tegasnya.

Tengku Adnan berkata sebagai kerajaan, Barisan Nasional yang ditunjangi Umno tidak terlepas daripada membuat kesilapan tetapi kepimpinan baru di bawah Najib telah melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.

"Saya tak kata, sebagai kerajaan, kita ini sempurna...memang ada kesilapan-kesilapan yang dibuat tapi kita dapat lihat pemimpin baru kita Datuk Seri Najib sedang dan telah buat perubahan. Kita mahu bergerak ke hadapan, kita tidak mahu kembali ke belakang. Bagi dia peluang," katanya.

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno, beliau turut mengingatkan perwakilan supaya tidak menjadikan perhimpunan itu sebagai platform untuk menonjolkan diri dan menarik perhatian pucuk pimpinan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya.

Tengku Adnan berkata rasa teruja untuk berbahas juga perlu dikawal supaya apa yang diucap tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Beliau berkata pembahas bebas menyentuh apa sahaja isu di bawah topik ucapan dasar presiden, ekonomi, politik, agama dan pendidikan tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Kita tak larang sebab Jawatankuasa Usul akan berbincang dengan mereka (pembahas) dan akan beri satu panduan kerana kadang-kadang ada orang yang akan jadi ghairah bila dapat mikrofon.

"Kita juga minta perwakilan jangan terlalu hendak menonjolkan diri memandangkan pilihan raya yang semakin hampir. Ini mungkin akan jadi masalah tapi kita akan cuba bendung," katanya.

Tengku Adnan berkata perwakilan perlu menumpukan ucapan mereka mengenai kepentingan mempercayai dasar Umno yang memperjuangkan semua kaum dan bukan hanya menjadi payung kepada orang Melayu.

Beliau berkata pembahas juga perlu peka terhadap persepsi yang dilemparkan pembangkang terhadap Umno dan memasukkan peringatan dalam perbahasan bahawa parti itu tidak menjanjikan kekayaan kepada individu tetapi memperjuangkan kepentingan rakyat. - Bernama

AGM Umno bahas 476 usul


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR - Sebanyak 476 usul daripada 191 bahagian Umno dipersetujui untuk dibahaskan pada perhimpunan agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 27 November hingga 1 Disember ini.

Naib Presiden Umno yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya menerima 521 usul dan 45 daripadanya diterima tanpa bahas manakala tiada usul ditolak.

"Usul-usul yang akan dibentangkan kali ini dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu usul ekonomi yang akan diselaras Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, usul agama oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan usul pendidikan serta sosial dikendali oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata perjalanan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diselaraskan dengan lebih terperinci dan mesyuarat jawatankuasa susulan akan digerakkan bagi menambah lebih ramai jawatankuasa untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan lancar.

Hishammuddin berkata perhimpunan agung Umno 2012 iaitu yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 itu dianggap sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera parti.

Katanya, kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tiga tahun lepas telah membawa banyak transformasi yang menunjukkan parti tidak hanya bergerak statik malah merupakan perkara terpenting yang perlu diterjemahkan para perwakilan pada perhimpunan kelak.

"Kita harus sentiasa mengingatkan mereka (perwakilan) supaya menjadikan isu transformasi serta perubahan sebagai agenda utama semasa perbahasan. Saya bimbang jika perbahasan hanya berkisar kepada isu-isu dalaman yang tidak akan menggambarkan kepimpinan perjalanan parti sejak PRU ke-12," katanya.

Hishammuddin berkata perhimpunan itu dilihat sebagai cara terbaik untuk mendekatkan parti kepada golongan sasar secara lebih menyeluruh dan persediaan dilakukan lebih awal bagi memastikan perwakilan dapat menyampaikan mesej kerajaan dengan jelas. - Bernama

Ahli akademik: Pas, Umno wajar kerjasama


KUALA LUMPUR – Usaha untuk mengwujudkan ruang kerjasama di antara Pas dan Umno yang terhalang sebelum ini dilihat wajar diteruskan demi kepentingan agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Yusof Muhammad berkata, kerjasama ini penting untuk ke hadapan.

"Suka atau tidak suka perlu bekerjasama dengan Umno sebagai alternatif pertama.

"Masalah orang Pas sekarang ialah mereka melihat orang Umno seperti orang kafir," katanya pada Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal di sini, hari ini.

Bulan lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar Pas menegaskan pemimpin Umno dan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa boleh meneruskan kerjasama politik, jika itu yang diinginkan, tetapi tanpa kehadiran Pas.

Mahfuz berkata, Pas juga tidak mempunyai masalah sekiranya Umno mahu meneruskan perbincangan dengan Nasharudin, yang dilihat lebih dekat dengan parti teras Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menyambut baik dan menerima secara positif saranan Nasharudin yang mahu merencanakan semula perpaduan umat Islam terutamanya melibatkan Umno dan Pas.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kerjasama politik dengan parti yang bukan Islam, Yusof juga berkata, realiti politik seperti ini tidak dapat ditolak untuk memperluaskan kuasa.

Bagaimanapun katanya, orang Islam perlu dominan dalam menguasai dasar.

"Orang Islamlah yang wajar mengawal bukannya diberi hak untuk mengawal kepada orang bukan Islam, manakala dengan sesama Islam kita perlu menyatakan pendirian tegas kita.

“Kita tidak boleh bercakap tentang revolusi tetapi kena berbicara mengenai demokrasi. Suka atau tidak suka, inilah sistem yang ada di Malaysia. Penyertaan dalam pilihanraya adalah satu kewajipan," katanya lagi.