Selasa, 13 November 2012

'Jangan hanya tuduh Umno libat rasuah'



Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - Persepsi rakyat kepada Umno terhadap gejala rasuah yang digambarkan seolah-olah hanya parti itu yang terlibat perlu dihakis kerana gejala tidak bermoral itu boleh melibatkan sesiapa sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, gejala tersebut tidak mengenal parti, pangkat, jantina, mahupun kaum, yang ianya tetap salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya menunding jari kepada Umno kerana sesuatu persepsi itu tidak semestinya benar.

"Jangan hanya menuduh rasuah ini hanya orang Umno itu tidak betul kerana rasuah ini merentas semua, tanpa mengenal siapa, yang mana rasuah ini adalah keruntuhan akhlak tanpa mengira apa juga partinya. Jika terlibat, salah tetap salah.

"Perlu menerima dengan terbuka bahawa sesungguhnya rasuah itu bukan hanya berlaku kepada orang-orang tertentu, parti-parti tertentu, tetapi rasuah berlaku kepada orang yang mempunyai nilai moral yang rendah," katanya pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Penerangan Bajet 2013 di Terminal Bas Jalan Duta, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan mengulas kenyataan setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor bahawa cabaran parti tersebut ketika ini adalah menangani isu persepsi rasuah.

Beliau menegaskan, dalam konteks tersebut, kerajaan Barisan Nasional (BN) serius menangani isu itu bagi usaha membasmi rasuah.

Katanya, apa yang penting adalah usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan sendiri, yang dalam masa sama mahu sebagai langkah menghakis persepsi rakyat terhadap Umno.

"Adakah kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak ini membiarkan rasuah? Tidak. Adalah kerajaan tidak berbuat sesuatu? itu tidak betul, kerana yang penting, kerajaan BN ada petunjuk prestasi utama (KPI) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang mana terdapat tujuh perkara utama dan salah satunya membasmi rasuah," katanya

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, pihaknya belum mempunyai sebarang rancangan untuk menetapkan agar setiap calon baru bagi pilihanraya umum akan datang, membuat pengisytiharan harta.

Katanya, sepanjang pengetahuannya perkara itu tidak pernah dibincangkannya, namun hanya semakan sama ada calon terlibat dengan perkara-perkara berkaitan bankrup sahaja dibuat.

"Masalah kita adalah senarai calon itu ramai, dan ia masih belum diputuskan, jadi jika mahu mereka ishtihar harta, mereka belum muktamad menjadi calon," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan