Ahad, 14 Oktober 2012

Daim Kata UMNO BN Hanya Menang 3 Negeri Dalam PRU Akan Datang



Bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno BN hanya menang di Johor, Melaka dan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan selainnya dimenangi Pakatan Rakyat.

Daim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau yang diterbitkan awal tahun ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Daim turut dipetik sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini umpama “jeneral tanpa askar” dalam berdepan cabaran PRU.

“Perdana Menteri dan pemimpin utama lain sudah pun melakukan lebih dari cukup. Maka situasi semasa mereka umpama ‘jeneral tanpa askar’.

“Di manakah askar-askar BN? Pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu lebih proaktif melibatkan diri dengan orang ramai,” kata Daim.

Daim turut meramalkan agak sukar untuk Umno BN mengekalkan Sabah dan Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu di kedua-dua negeri itu.

Mengenai Negeri Sembilan, Daim tidak menolak bahawa Pakatan Rakyat berpeluang cerah untuk menang di situ ekoran gabungan KEADILAN, PAS dan DAP hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, kata Daim, Umno juga terpaksa mencari calon sesuai untuk menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijangka bertanding kerusi Parlimen untuk dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mengenai Perak yang dirampas Umno BN yang diketuai Najib sejak Februari 2009, Daim melihat agak sukar untuk Umno BN kekal di negeri itu.

Sementara Kelantan dan Pulau Pinang, Daim yakin Pakatan Rakyat akan terus memerintah di kedua-dua negeri itu.

Menjelang PRU 8 MAc 2008, Daim pernah meramalkan Umno BN akan kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada siapa melihat dengan serius ramalan beliau.

Sehinggalah keputusan 8 Mac diumum yang yang menyaksikan Umno bukan sahaja kalah di negeri itu, kecuali Terengganu, malah buat pertamakali dalam sejarah BN hilang 2/3 kerusi Parlimen.

Muhyiddin dakwa isu Soros bukan untuk keuntungan politik


tun dan george soros dalam satu pertemuan satu masa dahulu


Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa BN tidak menggunakan isu jutawan George Soros – yang didakwa membiaya NGO tempatan untuk menjatuhkan kerajaan – demi keuntungan politik parti.
Beliau dipetik akhbar Mingguan Malaysia sebagai berkata, perkara itu hanya ditimbulkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir sebagai peringatan bahawa bantuan Soros itu "tidak membantu negara."

"Rakyat boleh menilai, kalau kita biarkan bermakna kita mahu kuasa asing menguasai negara dan Soros mahu menggunakan kuasa wang untuk menimbulkan masalah dalam negara kita.

"Kita tidak menggunakan itu (demi keuntungan politik) tetapi kenyataan yang perlu dijelaskan," katanya dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyatan timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada Khamis lalu yang bimbang serangan BN ke atas Soros akan "memakan diri sendiri".

Dalam laporan edisi hujung minggu Utusan Malaysia itu lagi, Muhyiddin berkata isu sama ada perkara itu menimbukan kesan buruk kepada BN tidak timbul kerana dakwaan tersebut telahpun dipersoalkan banyak pihak.

"Umum mengetahui peranan Soros di banyak negara, ini satu kenyataan yang perlu kita sedari kerana kalau rakyat tidak menyedarinya, ia adalah sat perkara bahaya.

"Peringatan Tun Mahathir adalah satu kenyataan dan badan yang mengharap bantuan Soros perlu sedar tindakan itu tidak membantu negara," katanya.

Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros – seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang – telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.

Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.

Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi Zionis, Soros melalui Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa membiaya Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar.

"... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322 halaman itu dipetik.

"Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa."

Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sehingga Jun lalu.

Laporan tonjol pengaruh Dr M pada pencapaian BN



NONE



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ditonjolkan dalam akhbar Sinar Harian sebagai faktor dan penyumbang besar BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Laporan akhbar itu antara lainnya membangkitkan pengaruh Mahathir kepada prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum 2008 yang berpunca daripada kenyataannya ke atas perdana menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia memetik kenyataan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang berkata satu tulisan Mahathir dalam blognya menyebabkan populariti Abdullah jatuh ke paras 71 peratus menjelang pilihan raya umum ke-12 itu.

"Memang ada kena mengenai dengan Dr Mahathir sebab beliau sebelum itu kritik Pak Lah, pemimpin lemah, pemimpin begitu, pemimpin begini dan seolah-olah menggambarkan Pak Lah sebagai presiden Umno yang dilantik Dr Mahathir tetapi tidak menghargai Mahathir," kata presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali seperti dipetik akhbar itu.

Laporan itu juga mengaitkan sokongan ke atas kempen 1Malaysia anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak dan kenyataan positif yang seing disuarakan Mahathir ke atas pentadbiran Najib.

Pengarah Institut Kajian Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Abdul Rahman Abdul Aziz yang dipetik dalam laporan itu menyebut, sokongan Mahathir itu meyakinkan rakyat dan seterusnya membolehkan Najib "menang besar" dalam pilihan raya umum akan datang.

Seorang lagi yang pengkaji, pengarah eksekutif pusat kajian Merdeka Center Ibrahim Suffian berpendapat, pengaruh Mahathir itu sekurang-kurangnya membolehkan BN kekal dengan jumlah sokongan sedia ada.

Dalam laporan itu, Ibrahim berkata Mahathir bagaimanapun tetap berbeza pandangan dan menegur pentadbiran Najib apabila menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai politik wang.

Anak muda pula mempunyai pandangan positif ke atas Mahathir, kata Ibrahim yang menjelaskan golongan tersebut kini lebih analitikal.

"Mereka tidak tolak kepimpinan Mahathir tetapi mereka turut didedahkan dengan berita rasuah dan media baru," katanya.

Sementara itu, dua orang pemimpin Pakatan Rakyat pula mengulas mengenai faktor pertentangan antara Mahathir dan Najib – terutamanya berhubung masa depan anak kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Mukhriz Mahathir.

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa Mahathir mamasang hasrat supaya Mukhriz juga akan menjadi perdana menteri.

"Banyak pihak dalam Umno yang tidak senang dengan percaturan politik untuk mengatur kedudukan anaknya.

"Hatta apabila disebut anaknya untuk bertanding sebagai calon menteri besar, ia akan berlaku pergolakan dalaman Umno," katanya.

Mahfuz juga memberi amaran bahawa Najib mungkin berdepan nasib yang sama dengan Abdullah sekiranya tidak memenuhi tuntutan Mahathir, menurut laporan itu.

Naib presiden PKR R Sivarasa pula berpendapat, Mahathir kini "menyalahkan" Najib atas kedudukan Umno pada waktu ini.

"Ini kerana kalau Umno kalah bermakna peluang anaknya untuk menjadi perdana menteri akan tipis. Malah Mahathir juga merasakan kedudukannya dalam bahaya," kata Sivarasa seperti dipetik Sinar Harian.

Katanya lagi, peranan penting Mahathir dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memastikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri.

Kenyataan Mahathir terus menjadi bahan laporan utama media walaupun selepas berundur daripada kerajaan pada 2003 – selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.

Terbaru, beliau mencetus kontroversi apabila mendakwa pembiaya asing menyalurkan dana kepada NGO Suaram demi menjatuhkan kerajaan dan menjadikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dakwaan itu disiarkan akhbar pro-kerajaan, bahawa modus operandi sama dijalankan negara asing dalam Arab Spring – untuk menukar kerajaan di negara Arab.

Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros – seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang – telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.

Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Anwawr didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.

Zul Noordin: Saifuddin 'tak layak' jadi timbalan menteri


NONE


MP Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin menuntut supaya timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan kerana berpandangan serangan BN ke atas jutawan George Soros berpotensi "memakan diri sendiri".

Dalam laporan Mingguan Malaysia itu, Zulkifli berkata Saifuddin sepatutnya membezakan "isu pertubuhan haram menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan" dan "isu politik".

"Saya terkejut kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh anggota kabinet yang jelas menunjukkan beliau tidak lagi layak menjadi timbalan menteri dan patut meletakkan jawatan," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Beliau mendakwa, isu yang dikaitkan dengan NGO Suaram itu "bukan soal politik tetapi perkara itu menyentuh tentang keselamatan serta kedaulatan negara".

Turut dibariskan dalam laporan tersebut untuk menyelar Saifuddin ialah presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah dan juga presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia Mohd Shahar Abdullah.

Azwanddin dilaporkan kesal kerana Saifuddin menurutnya "cuba mempertahankan sebuah pertubuhan yang terbukti menerima dana dan menjadi tali barut kuasa asing".

"Kami (NGO) bersungguh-sungguh menentang kemasukan dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, malangnya Saifuddin pula mempertahankan Suaram," katanya.

Saifuddin ketika ditemui Malaysiakini minggu lalu berkata, atas dasar itulah, beliau tidak gemar menyerang Soros mahupun NGO Suaram yang didakwa sebagai penerima dana daripada badan yang didakwa mempunyai kaitan dengan jutawan tersebut.

"Kalau kita tunjuk keburukan produk orang lain kita tak boleh kawal kualitinya sedangkan mereka boleh kawal (kualiti) produk mereka," kata Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

"Bagaimana jika Soros yang (hari ini) kita hentam esok lusa dia buat kenyataan yang sesuai dengan kita.

"Sebab itu saya tak begitu berminat menghentam Soros atau menghentam Suaram," katanya.