Selasa, 23 Oktober 2012

Strategi BN hadapi PRU13 lebih baik banding 2008

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN (Sinar Harian Online)
23 Oktober 2012

Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Berbanding 2008, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini bakal menyaksikan persaingan yang cukup sengit dalam meraih undi golongan muda yang merupakan kelompok paling penting bagi menentukan siapa yang bakal menguasai Putrajaya, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sejarah pahit pada pilihan raya umum 2008 katanya, mengajar Umno-Barisan Nasional betapa undi golongan belia memainkan peranan yang cukup besar dan harus dikembalikan.

Sementara pembangkang pula katanya, perlu “bermain di atas padang yang sama rata” berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini, kita sudah ada 11 pemain di atas padang. Yang menjadi masalah pada 2008, saya ingat kita hanya ada lima orang pemain sahaja. Persaingan sengit. (Kita lihat) strategi siapa yang berjaya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Saifuddin menambah, peranan yang dimainkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan muda wajar diberi pengiktirafan kerana ia berjaya menarik kembali sokongan generasi muda yang sebelum ini beralih arah kepada pembangkang.

“Saya fikir untuk kali ini, kita lebih bersedia. Kredit harus diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memang secara tulen merapati dan mendengar suara orang muda. Ini sebenarnya kita sudah buat (sebelum ini) tetapi Datuk Najib memperbaharuinya,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online.

Menurut Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, kredit juga harus diberikan kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berjaya menggerakkan unit media baru termasuk menganjurkan program bagi membantu golongan belia mencari pekerjaan melalui program Karnival Kerjaya Pemuda BN.

“Ini kita sudah ke hadapan, ini bukan politik undi tetapi sudah kepada politik bakti,” kata Saifuddin.

Berhadapan dengan generasi muda yang dilihat lebih gemar memilih untuk menjadi pemerhati dan berstatus pengundi atas pagar, Saifuddin mengakui bukan mudah sebenarnya untuk menawan hati kelompok ini.

“Umumnya orang muda memang sinis, skeptikal malahan menolak politik. Tetapi mereka masih punya keyakinan terhadap negara demokrasi dengan syarat, demokrasi perlu ditransformasikan.

Sebab itulah saya bercerita tentang politik baru. Mewujudkan iklim dan budaya politik yang lebih sihat dan segar.

“Orang muda ini sangat kritikal. Mereka tahu sama ada kita ‘real’ atau hanya ‘political’. Political maksudnya kempen sahaja, gimik sahaja. Mereka tahu. Dia boleh rasa,” katanya.

“Tetapi kalau kita ‘real’ dengan dia, tak perlu pun pakai macam pakaian dia, tak payah guna bahasa-bahasa dia, tak payah pun nyanyi lagu-lagu dia, tapi kita ‘real’. Dia tahu. Abang ini betul-betul serius, tulen dan hendak dengar masalah dia dan akan bawakan suara mereka,” tambah beliau.

Menurut Saifuddin lagi, ahli-ahli politik Umno-Barisan Nasional bukan sahaja perlu mendekati golongan ini tetapi harus juga menyelami jiwa mereka kerana hanya dengan cara itu, kepercayaan boleh diraih dan perkhidmatan boleh disalurkan kepada kelompok ini.

“Kita kena menyelami (jiwa generasi muda ini) sebenarnya. Apa sebenarnya pemikiran mereka, apakah minda dan aspirasi sebenar orang muda itu. Dan, kalau kita betul-betul menyelami mereka, maka kita bukan hanya dapat mendekati, kita bukan hanya menggunakan media baru tetapi kandungan media baru itu juga bersesuaian dengan mereka,” jelas beliau.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ketua Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Datuk Seri Profesor Syed Arabi Idid menunjukkan minat politik di kalangan generasi muda meningkat menjelang PRU13 ini.

Kajian yang dilakukan ke atas 1,370 belia dalam kumpulan umur 21-35 tahun di seluruh negara mendapati mereka sensitif terhadap masa depan mereka dan negara.

Hasil kajian itu juga mengesahkan tanggapan umum bahawa semakin ramai muda-mudi hari ini bergantung kepada Internet berbanding media arus perdana untuk mengikuti perkembangan dalam negara.

Satu lagi penemuan Syed Arabi adalah minat politik dalam kalangan generasi muda hari ini adalah tinggi dengan 60 peratus daripada responden berbahas politik dengan rakan-rakan, 52 peratus dengan anggota keluarga dan 32 peratus dengan aktivis politik.

Seramai 88 peratus daripada responden yang kesemuanya merupakan pengundi, menunjukkan keyakinan tinggi yang masa depan negara mereka adalah cerah atau sangat cerah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan