Selasa, 17 Julai 2012

Komponen BN cukup bersedia hadapi PRU13 tahun ini

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Julai 2012

Keratan muka depan Sinar Harian, semalam.

SHAH ALAM – Parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah cukup sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun ini walaupun PRU kali ini dianggap paling getir.

Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugesan berkata, pihaknya sudah menyiapkan jentera bagi memastikan BN terus menerajui negara.

“Bagi saya ia bukan satu desakan. PRU13 boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Tetapi terpulang dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan berhubung keputusan tarikh pilihan raya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Pada masa sama beliau turut menambah MIC sentiasa sedia dan yakin dengan sokongan yang diberikan rakyat.

“MIC sudah bersedia. Jentera pilihan raya kami pun sudah bersedia hadapi PRU bila-bila masa saja,” katanya

“Bila diadakan itu, kami serahkan pada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim, cadangan Muhyiddin itu ada asasnya.

“Saya percaya, beliau (Muhyiddin) yakin masa yang sesuai sudah tiba. Kita tunggu sahaja keputusan terakhir daripada Perdana Menteri untuk umumkan,” katanya.

Donald Lim yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, MCA mengambil berat setiap pandangan daripada kepimpinan tertinggi parti dan sudah sedia bila-bila masa.

“MCA yakin dengan kerja yang sudah dan sedang lakukan kini, dan kita percaya rakyat mampu menilai hasil kerja kita,” katanya.

Sementara itu, Exco Puteri Umno, Zauyah Zainuddin turut menyambut baik jika PRU13 diadakan tahun ini.

Zauyah berkata, beliau percaya sebarang keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti adalah yang terbaik untuk semua.

“Semua jentera sedang membuat touch up yang terakhir,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan