
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan
PUTRAJAYA - Peletakan jawatan Datuk Seri Lajim Ukin dan tindakan keluar parti Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Bumburing, lebih kepada masalah peribadi, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata sepatutnya kepentingan dan perjuangan parti perlu menjadi keutamaan yang melebihi kepentingan peribadi.
"Ia hanyalah masalah terpencil kerana jika mereka tidak ada, ramai lagi yang boleh menggantikan mereka, sokongan rakyat tetap bertambah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Maslan berkata orang yang tidak setia dengan parti sememangnya tidak diperlukan kerana sekiranya masih berada di dalam parti ia akan dianggap 'umpama gunting dalam lipatan'.
Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.
Bagaimanapun beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota Umno.
Sementara Bumburing mengumumkan keluar parti UPKO, yang merupakan satu daripada parti komponen BN Sabah dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan