Isnin, 13 Ogos 2012

MCA perlu terus dekati rakyat, NGO

12 Ogos 2012

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa anggota parti itu terus mendekati rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pandangan mereka sentiasa didengar.

"MCA harus berada bersama rakyat dan NGO bagi memenuhi keperluan mereka. Sebagai sebahagian daripada kerajaan, kita boleh menjadi saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan.

"Sudah pasti kita akan mengambil usaha bersepadu dan pendekatan bijak bagi menyelesaikan masalah (yang mereka hadapi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan MCA Wilayah Persekutuan hari ini.

Turut hadir Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Liow menggesa anggota parti itu bahagian Wilayah Persekutuan terus mendekati pengundi di kawasan bandar terutama Kuala Lumpur, yang berwaspada dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata anggota MCA harus terus mengingatkan rakyat bahawa terdapat banyak program dan bantuan daripada kerajaan bagi membantu mereka mengatasi masalah itu.

"Banyak lagi usaha akan dilakukan untuk pastikan kos sara hidup dapat dikawal. Kita mahu mereka tahu keperluan mereka dijaga dengan baik," katanya.

Liow juga berkata kini desakan rakyat kian meningkat terutama berkaitan akauntabiliti dan ketelusan.

"Jadi, ini perlu dilaksanakan segera. Kita perlu ingat bahawa pengundi di kawasan bandar sering memantau setiap pelaksanaan oleh kerajaan bukan hanya menerusi akhbar, malah telefon bimbit mereka serta media sosial," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan